Mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 3,299 orang
16:09 Sep 18, 2025  |  By SabahKini2
Mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 3,299 orang

Membakut merekodkan jumlah tertinggi iaitu 1,085 mangsa daripada 326 keluarga di enam PPS, manakala Penampang mencatatkan 610 mangsa melibatkan 163 keluarga di sembilan PPS.

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa bencana banjir, tanah runtuh dan kebakaran di Sabah terus meningkat mencecah 3,299 mangsa daripada 954 keluarga.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan setakat jam 12 tengah hari, kesemua mangsa ditempatkan di 28 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah terjejas termasuk Beaufort, Penampang, Tawau, Membakut, Papar, Putatan dan Sipitang.

“Membakut merekodkan jumlah tertinggi iaitu 1,085 mangsa daripada 326 keluarga di enam PPS, manakala Penampang mencatatkan 610 mangsa melibatkan 163 keluarga di sembilan PPS.

“Papar pula menempatkan 369 mangsa daripada 105 keluarga, diikuti Putatan dengan 566 mangsa daripada 143 keluarga, Sipitang dengan 324 mangsa daripada 115 keluarga, Beaufort 286 mangsa daripada 91 keluarga dan Tawau 59 mangsa daripada 11 keluarga.

“Secara keseluruhan, 129 kampung dikenal pasti terjejas dengan ada daerah yang mencatatkan penurunan jumlah mangsa seperti Beaufort, Penampang dan Putatan, sementara Membakut dan Sipitang menunjukkan peningkatan,” katanya.

Tambahnya, PPS Penampang yang masih beroperasi termasuk Sekolah Kebangsaan St Paul Kolopis, Dewan Huguan Siou, Kompleks Sukan Penampang, Dewan Ramayah, Dewan Inobong, Dewan Raya Bukitas, Parish Hall serta Dewan KDCA Penampang.

“Di Membakut, PPS aktif melibatkan Dewan Masyarakat Bongawan, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Pei Yin, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongawan, SMK St Patrick, Dewan Kesenian Islam serta SMK Membakut.

“Di Papar, PPS yang dibuka termasuk Dewan Masyarakat Papar, Dewan Lok Kawi Height, Balai Raya Kampung Mook serta Dewan Marahang.

“Manakala di Putatan, mangsa ditempatkan di Dewan PPR Sri Keramat, Dewan Sri Serigai, Dewan Meruntum dan SMK Petagas,” katanya.

Katanya, PPD Sipitang terlibat ialah Dewan Mini Mesapol, Dewan Sekolah Kebangsaan Padang Berampah dan Dewan SMK Padang Berampah.

Sementara itu katanya, PPS tunggal di Beaufort ialah Pusat Pemindahan Kampung Selagon, manakala di Tawau, mangsa kebakaran ditempatkan di Masjid Al-Aman.

Data pecahan turut menunjukkan daripada keseluruhan 3,299 mangsa, seramai 1,818 terdiri daripada golongan dewasa dan warga emas manakala 1,339 adalah kanak-kanak dan bayi.

JPBN Sabah menegaskan pemantauan rapi terus dilakukan oleh pihak berkuasa di semua lokasi terjejas dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat serta agensi keselamatan lain.

Seramai 13 mangsa bencana dilaporkan terkorban sejak kejadian bermula minggu lalu termasuklah insiden tanah runtuh di Kampung Sarapung Penampang, Kampung Cendera Kasih Kolombong Kota Kinabalu serta dua lokasi di Papar iaitu Kampung Marahang Gana dan Kampung Mook, Kinarut.

Orang ramai yang berada di kawasan berisiko dinasihatkan agar sentiasa peka dengan maklumat rasmi daripada pihak berkuasa serta segera berpindah ke PPS sekiranya diarahkan.

Comment