Doktor pakar forensik hadir periksa dokumen, catatan tulisan Zara Qairina
17:09 Sep 18, 2025  |  By SabahKini2
Doktor pakar forensik hadir periksa dokumen, catatan tulisan Zara Qairina

Dr Linthini yang tiba kira-kira jam 9 pagi bersama pasukan peguam mewakili ibu arwah, dilihat memasuki bilik persediaan lelong bersama barisan peguam keluarga.

KOTA KINABALU: Seorang pakar pemeriksa dokumen forensik dari Kuala Lumpur, Dr G Linthini, hadir di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu hari ini, bagi menjalankan pemeriksaan awal terhadap dokumen dan catatan didakwa milik Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Dr Linthini yang tiba kira-kira jam 9 pagi bersama pasukan peguam mewakili ibu arwah, dilihat memasuki bilik persediaan lelong bersama barisan peguam keluarga.

Tidak lama kemudian, pegawai penyiasat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar turut hadir untuk urusan berkaitan bahan yang diperiksa.

Difahamkan, pakar ini ditugaskan meneliti dan mengesahkan kesahihan bahan bertulis termasuk buku catatan, dokumen peribadi dan diari dikaitkan dengan arwah.

Langkah pengesahan ini dilihat penting bagi memastikan sebarang analisis psikologi terhadap tulisan Zara kelak berasaskan dokumen yang benar-benar sahih.

Dr Linthini adalah pemeriksa dokumen bertauliah dengan pengalaman lebih enam tahun mengendalikan pelbagai kes berkaitan dokumen.

Beliau juga diiktiraf sebagai wanita pertama di Malaysia yang memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Pemeriksaan Dokumen Forensik, seperti direkodkan dalam Malaysia Book of Records (MBR).

Beliau akan menjadi saksi bagi pihak ibu Allahyarham Zara, pada prosiding inkues nanti.

Minggu lalu, peguam keluarga Allahyarham Zara, Shahlan Jufri, memaklumkan hasrat untuk turut melantik pakar psikologi bebas dari Kuala Lumpur bagi menilai keadaan minda arwah sebelum tragedi berlaku.

Bagaimanapun, beliau menekankan aspek psikologi hanya boleh diberi pertimbangan penuh selepas kepastian identiti dan kesahihan hasil tulisan arwah diperoleh melalui pemeriksaan forensik.

Sementara itu, prosiding inkues hari ini diteruskan dengan sesi soal jawab bersama Ketua Warden asrama, Azhari Abd Sagap.

Comment