Rakan sekolah Zara Qairina pindah sekolah selepas kejadian – Ketua Warden
17:09 Sep 18, 2025  |  By SabahKini2
Rakan sekolah Zara Qairina pindah sekolah selepas kejadian – Ketua Warden

Perkara itu disahkan oleh Ketua Warden, Azhari Abd Sagap ketika ditanya peguam mewakili ibu arwah, Shahlan Jufri pada prosiding inkues kematian Zara Qairina di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, pagi ini.

KOTA KINABALU: Selepas beberapa minggu kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang dikaitkan dengan insiden dia ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai, seorang daripada rakan pelajar itu berpindah sekolah.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Warden, Azhari Abd Sagap ketika ditanya peguam mewakili ibu arwah, Shahlan Jufri pada prosiding inkues kematian Zara Qairina di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, pagi ini.

Azhari yang juga guru Bahasa Arab kepada Zara, berkata seorang pelajar lain yang turut dituduh di mahkamah kanak-kanak kerana membuli Zara, tidak lagi tinggal di asrama yang sama disebabkan trauma.

Dalam prosiding hari ini, Azhari mengiyakan perpindahan pelajar terbabit yang dinamakan sebagai 'A', namun mengaku tidak mengetahui punca atau alasan pelajar berkenaan berpindah daripada sekolah terbabit.

Beliau juga menjelaskan, bukan bidang tugasnya membuat keputusan mengenai perpindahan pelajar walaupun Kementerian Pendidikan (KPM) difahamkan membekukan perpindahan pelajar.

Shahlan: Saya difahamkan pelajar A sudah pindah sekolah?

Azhari: Ya.

Shahlan: Jadi, pelajar yang masih sekolah di sana ialah B, C, D dan E?

Azhari: Ya, betul.

Shahlan: Saya difahamkan selepas kejadian Zara, KPM membekukan pemindahan pelajar ke sekolah lain. Bagaimana pelajar A pindah sekolah?

Azhari: Itu bukan bidang tugas saya.

Shahlan: Cikgu tahu bila pelajar A pindah sekolah?

Azhari: Tidak ingat, beberapa minggu selepas kejadian.

Shahlan: Mengikut kefahaman saya, untuk pindah sekolah kita mesti sertakan alasan untuk pindah, adakah kamu tahu apa alasan pelajar A pindah sekolah?

Azhari: Saya tidak tahu.

Shahlan: Adakah cikgu tahu bagaimana proses pindah sekolah ke sekolah lain?

Azhari: Ada isi borang tiga untuk mohon pindah sekolah.

Shahlan: Selalunya ambil masa berapa lama?

Azhari: Selesai semua dokumen boleh proceed (teruskan).

Shahlan: Berapa lama permohonan itu diluluskan?

Azhari: Itu saya tidak tahu, bukan bidang tugas saya.

Saksi kelapan inkues kematian Zara Qairina itu turut ditanya mengenai tindakan pihak sekolah terhadap empat lagi pelajar yang dinamakan B, C, D dan E selepas apa yang berlaku pada 15 Julai lalu.

Perkara itu merujuk kepada perjumpaan pelajar terbabit bersama arwah Zara Qairina dan pelajar lain berkaitan tuduhan mencuri terhadap arwah.

Azhari berkata, tindakan sekolah selepas itu hanya mengambil keterangan daripada pelajar terbabit dan memberi sesi kaunseling.

Beliau turut mengiyakan apabila ditanya Shahlan sama ada pelajar B, C, D dan E itu masih tinggal di asrama sekolah selepas insiden yang berlaku di sana pada 16 Julai lalu.

Bagaimanapun, katanya, pelajar E yang juga ketua bilik tidak lagi menginap di bilik yang sama selepas kejadian berkenaan kerana trauma.

"Sekarang pelajar E bukan lagi (ketua bilik), sebab dia bagi tahu dia trauma dengan kejadian ini dan tidak boleh menginap lagi di bilik itu," katanya.

Katanya, hanya pelajar B, C dan D masih menginap di bilik yang sama.

Comment