KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ke Sabah esok bagi meninjau situasi banjir di negeri itu.
"Saya akan pergi esok," kata beliau ringkas kepada media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN Ke-46 (AIPA) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Situasi banjir di Sabah bertambah buruk dengan jumlah mangsa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 3,134 orang daripada 916 keluarga, pagi ini.
Jumlah itu meningkat daripada 2,919 orang membabitkan 814 keluarga petang semalam.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan semua mangsa ditempatkan di 27 PPS melibatkan enam daerah iaitu Beaufort, Membakut, Penampang, Papar, Putatan dan Sipitang.