Hajiji turun padang santuni mangsa bencana banjir
17:09 Sep 18, 2025  |  By SabahKini2
Hajiji turun padang santuni mangsa bencana banjir

Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah, berkata keberadaan Hajiji di lokasi terjejas bukan sekadar simbolik, sebaliknya bukti nyata kepimpinan beliau yang tidak membiarkan rakyat menghadapi musibah bersendirian.

KOTA KINABALU: Tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turun padang meninjau dan menyantuni mangsa bencana banjir serta tanah runtuh di negeri ini mendapat pujian pelbagai pihak.

Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah, berkata keberadaan Hajiji di lokasi terjejas bukan sekadar simbolik, sebaliknya bukti nyata kepimpinan beliau yang tidak membiarkan rakyat menghadapi musibah bersendirian.

“Tatkala ramai menunggu bantuan, kehadiran Ketua Menteri di tengah-tengah kawasan bencana memberi sinar dan semangat kepada mereka yang terkesan.

“Langkah beliau meluangkan masa mendengar rintihan mangsa serta memastikan bantuan disalurkan segera mencerminkan nilai kepimpinan berjiwa rakyat yang sejati,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, pemimpin yang benar-benar prihatin tidak hanya memantau dari jauh, sebaliknya turun sendiri ke lapangan untuk memahami kesusahan rakyat dengan mata dan hati terbuka.

Beliau turut menyifatkan Hajiji sebagai contoh pemimpin konsisten dalam mendahulukan kebajikan rakyat, khususnya ketika negeri dilanda bencana yang menyebabkan kerosakan infrastruktur, kehilangan tempat tinggal bahkan meragut nyawa.

“Ketika rakyat ditimpa musibah, inilah masanya untuk semua pemimpin menunjukkan empati dan tanggungjawab. Hajiji telah menzahirkan teladan itu dengan tindakan nyata, bukan sekadar kata-kata,” katanya.

Dalam masa sama, Liew menyeru seluruh masyarakat dan agensi berkaitan supaya berganding bahu membantu mangsa bencana tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik.

“Ketika bumi Sabah sedang menangis, kita semua harus menjadi pengubatnya. Kepimpinan yang peduli dan rakyat yang bersatu adalah kunci untuk bangkit daripada ujian ini,” katanya.

Comment