Inkues Zara Qairina: Saksi ingin tahu kandungan diari Allahyarham
20:09 Sep 18, 2025  |  By SabahKini2
Inkues Zara Qairina: Saksi ingin tahu kandungan diari Allahyarham

Pada prosiding hari ini, Ketua Warden, Azhari Abd Sagap, berkata tiada siapa yang memberi kebenaran kepada pihaknya untuk membaca diari arwah selepas ditanya peguam ibu arwah, Shahlan Jufri mengenai perkara itu.

KOTA KINABALU: Saksi kelapan inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner, di sini, pihaknya mahu mengetahui kandungan diari arwah selepas ibunya berulang kali menyebut mengenai dokumen itu.

Pada prosiding hari ini, Ketua Warden, Azhari Abd Sagap, berkata tiada siapa yang memberi kebenaran kepada pihaknya untuk membaca diari arwah selepas ditanya peguam ibu arwah, Shahlan Jufri mengenai perkara itu.

Beliau turut menjelaskan mengenai penyerahan barangan milik arwah Zara Qairina kepada ibunya yang turut merangkumi sebuah diari Love and Peace di bilik isolasi asrama perempuan sekolah arwah sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya beliau pertama kali melihat gambar diari berkenaan pada prosiding hari ini dan tidak pernah melihatnya

Shahlan: Siapa benarkan kepada kamu dan cikgu lain untuk baca diari Zara?

Azhari: Tiada, kami yang mahu tahu apa isinya sebab ibu Zara yang minta dengan kami berulang kali.

Shahlan: Ketika ibu Zara ambil barang milik arwah di bilik isolasi ada diari diberi pihak sekolah. Siapa yang menjumpai diari Love and Peace ini? (merujuk kepada eksibit mahkamah).

Azhari: Ini tiada yang menjumpai, semua barang yang di locker (lokar) arwah diberi kepada ibu Zara kecuali yang dijumpai cikgu Miswati, iaitu diari Zara dan kawannya semasa mengemas barang di locker.

Shahlan: Boleh beritahu mahkamah siapakah yang mengemas barang Zara untuk diberi kepada ibu Zara di bilik isolasi?

Azhari: Cikgu Miswati dengan dua pelajar, sebab arahan itu saya bagi kepada cikgu Miswati.

Shahlan: Siapa dua pelajar itu?

Azhari: Saya tidak ingat, semasa di hospital, ibu dia (Zara) minta diari dan dompet Zara. Dompet memang ada di locker Zara dengan baki duit sebanyak RM7.

Shahlan: Adakah kamu tahu kewujudan id22 iaitu diari Love and Peace?

Azhari: Tidak, saya baru nampak hari ini.

Shahlan: Mengapa diari Love and Peace diberikan kepada ibu Zara tapi tidak empat diari lain yang dijumpai di locker Zara?

Azhari: Sebab cikgu Miswati tidak perasan buku ini, tidak dijumpai di locker Zara pada masa itu.

Sementara itu, Azhari memberitahu Mahkamah Koroner bahawa 15 helaian kertas dipercayai mengandungi tulisan arwah Zara Qairina yang disebut dalam kenyataan saksinya sebelum ini ditemui di rak buku yang terdapat di belakang bilik darjah arwah.

Beliau berkata rak terbabit yang tidak berkunci dan diperbuat daripada kayu digunakan untuk menyimpan buku teks, buku latihan dan buku nota pelajar.

Saksi memberitahu perkara itu di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan ketika diminta Shahlan untuk menjelaskan kedudukan rak buku di bilik darjah arwah.

Azhari turut mengakui adalah tidak logik diari milik arwah disimpan di rak buku yang boleh diakses oleh sesiapa saja, namun mengulangi kenyataannya bahawa dokumen itu ditemui di rak berkenaan.

Sebanyak 15 helaian kertas mengandungi tulisan dipercayai milik arwah itu katanya diserahkan kepada pihak polis dan polis turut mengambil gambar kedudukan rak buku terbabit.

Helaian kertas terbabit sudah diserahkan kepada Mahkamah Koroner sebagai eksibit atau barang kes mahkamah.

Comment