Pekerja SESB ditemui selepas hilang selama tiga hari
20:09 Sep 18, 2025  |  By SabahKini2
Pekerja SESB ditemui selepas hilang selama tiga hari

Beliau berkata, sebelum penemuan mangsa, pasukan SAR menumpukan pencarian di sekitar Kampung Linsudan selepas menemukan kasut dipercayai milik mangsa di sungai berkenaan yang terletak kira-kira 21 kilometer dari lokasi asal insiden.

KENINGAU: Seorang pekerja Sabah Electricity yang hilang tiga hari lalu selepas dihanyutkan arus banjir ketika cuba menyeberangi jambatan di Kampung Nuntunan Apin-apin, Keningau ditemukan lemas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Keningau, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, mangsa berusia 35 tahun itu ditemukan pasukan pencarian pada jam 6.18 petang tadi di kawasan sungai Kampung Liau Laut, kira-kira 40 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang pada malam 16 September lalu.

“Mangsa ditemukan pasukan Galen Star yang turut serta dalam misi pencarian sebelum dibantu anggota bomba untuk mengangkat mayat ke daratan.

“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, sebelum penemuan mangsa, pasukan SAR menumpukan pencarian di sekitar Kampung Linsudan selepas menemukan kasut dipercayai milik mangsa di sungai berkenaan yang terletak kira-kira 21 kilometer dari lokasi asal insiden.

“Operasi SAR hari ketiga bermula pada jam 9 pagi dengan melibatkan pelbagai agensi termasuk PDRM dan Angkatan Pertahanan Awam (APM). 

“Unit dron turut digerakkan bagi membantu operasi pencarian,” katanya.

Dalam kejadian pada 16 September lalu, mangsa bersama dua lagi rakan setugas mangsa masing-masing berusia 24 dan 38 tahun berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian berkenaan.

Kesemua mereka cuba menyeberangi jambatan ketika hujan lebat dan arus deras melanda kawasan berkenaan.

Mangsa yang ketika itu memakai vest Sabah Electricity dipercayai tergelincir dan dihanyutkan arus deras, manakala dua rakannya sempat menyelamatkan diri.

Comment