KOTA KINABALU: Tiga lagi pakar dijangka hadir ke mahkamah bagi meneliti barang kes dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Kehadiran tiga pakar itu di sini, esok dimaklumkan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah Sabah, Marhamah Rosli melalui hantaran di akaun Facebook beliau, hari ini.
Menerusi hantaran berkenaan, beliau berkata ketiga-tiga pakar pelbagai bidang itu akan membantu inkues yang dibuat bagi mencari kebenaran mengenai punca kematian arwah Zara Qairina.
"Esok, insya-Allah, tiga orang pakar akan hadir ke mahkamah untuk meneliti bahan bukti bagi membantu inkues Almarhumah Zara Qairina.
"Masya-Allah, pencapaian mereka bukan calang-calang, pertama pakar yang pernah terbabit dalam kes berprofil tinggi negara, diiktiraf kepakarannya di peringkat nasional.
"Kedua pensyarah kanan bidang Forensik Sains di universiti terkemuka, sering menjadi rujukan agensi penyiasatan rasmi.
"Ketiga, pakar forensik berpengalaman luas, yang biasa mengendalikan bukti saintifik dalam kes jenayah kompleks.
"Bayangkan, tenaga pakar yang biasanya hanya turun untuk kes-kes mega negara kini hadir sendiri ke Sabah demi perjuangan seorang anak kecil yang tidak dapat membela diri lagi," katanya dalam hantaran berkenaan.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti tiga pakar terbabit.
Khamis lalu, seorang pakar tulisan tangan dari Kuala Lumpur hadir di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu bagi melakukan pemeriksaan terhadap dokumen dan diari yang didakwa milik Allahyarham Zara Qairina.
Marhamah berkata, kehadiran pakar yang akan membantu dalam inkues itu adalah atas usaha pasukan peguam ibu arwah Zara Qairina.
Katanya, usaha itu tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa barisan peguam yang sangat teliti, sabar dan bekerja siang malam untuk memastikan setiap sudut perundangan terjaga.
Selain itu, katanya usaha itu juga dibantu masyarakat prihatin yang memberikan sumbangan dan tidak jemu menitipkan doa serta sokongan walau apapun fitnah dan tohmahan yang dilemparkan.
"Setiap sumbangan, doa dan sokongan ini telah membuka jalan sehingga para pakar bertaraf nasional sudi turun padang. Bahkan ada dari kalangan masyarakat yang kerja siang malam bagi memastikan urusan-urusan pakar ini berjalan lancar," katanya.
Ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat diwakili peguam Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan dan beberapa lagi peguam yang menyediakan khidmat secara pro bono.
Setakat ini, inkues sudah berjalan 12 hari dengan prosiding kini tertumpu kepada saksi kanak-kanak.
Tiada liputan dibenarkan terhadap prosiding yang membabitkan kanak-kanak dengan dua daripada 35 saksi kanak-kanak sudah memberi keterangan setakat hari ini.
Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum dilaporkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) akibat kecederaan otak yang teruk pada keesokannya.