Pelancong China buat ugutan bom palsu kerana isu tukar tempat duduk
20:09 Sep 23, 2025  |  By SabahKini2
Pelancong China buat ugutan bom palsu kerana isu tukar tempat duduk

Suspek wanita berusia 28 tahun dan lelaki berusia 29 tahun dikatakan terlebih dahulu menghubungi ejen pelancongan untuk menukar tempat duduk penerbangan mereka namun tidak mendapat sebarang maklum balas.

TAWAU: Gara-gara tidak berpuas hati dengan isu pertukaran tempat duduk, dua pelancong warga China bertindak menghantar e-mel ugutan mendakwa terdapat bom dalam pesawat sebuah syarikat penerbangan swasta.

Suspek wanita berusia 28 tahun dan lelaki berusia 29 tahun dikatakan terlebih dahulu menghubungi ejen pelancongan untuk menukar tempat duduk penerbangan mereka namun tidak mendapat sebarang maklum balas.

Mereka kemudian menghantar e-mel ke ibu pejabat syarikat penerbangan berkenaan di Kuala Lumpur dengan mendakwa terdapat bom dalam pesawat yang dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Tawau ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada kakitangan syarikat penerbangan terbabit pada jam 3 petang semalam.

"Susulan laporan itu, polis berjaya mengesan dan menahan pasangan terbabit sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jasmin berkata, perintah reman selama empat hari terhadap kedua-dua suspek sehingga 27 September ini dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Menurutnya, kes disiasat masing-masing mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Difahamkan, pasangan pelancong terbabit baru selesai bercuti di Semporna dan dijadualkan menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu hari ini sebelum insiden itu berlaku.

Comment