KOTA KINABALU: Usaha pemuliharaan tanah bencah Sabah sebagai khazanah hidup perlu diurus dengan bijaksana untuk memacu pembangunan yang mampan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, melalui ekopelancongan, perikanan lestari, perdagangan karbon dan perusahaan yang diterajui komuniti, tanah bencah mampu membuka peluang ekonomi sambil melindungi alam semula jadi untuk generasi akan datang.
Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam usaha untuk memulihara tanah bencah di Sabah.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa memberi penekanan besar terhadap kelestarian alam sekitar, menyedari sumber semula jadi negeri adalah asas kepada ekonomi, budaya dan kesejahteraan masyarakat.
"Sejak beberapa tahun, kita mengambil langkah proaktif untuk melindungi tanah bencah dan ekosistem berkaitan.
"Antaranya termasuk pewartaan kawasan perlindungan, penetapan tanah bencah seperti Kota Kinabalu Wetland sebagai Tapak Ramsar Berkepentingan Antarabangsa, serta sokongan berterusan untuk pemuliharaan hutan bakau, tanah gambut dan ekosistem pesisir pantai di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Simposium Antarabangsa Kelima mengenai Pemuliharaan dan Pengurusan Tanah Bencah 2025 di sini hari ini. Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
Hajiji berkata, Sabah turut melaksanakan inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang menekankan pertumbuhan mampan dan inklusif, dengan perlindungan alam sekitar sebagai salah satu prinsip panduan.
“Pendekatan kita bukan sahaja melindungi alam semula jadi semata-mata, tetapi juga memastikan pemuliharaan dan pembangunan dapat berjalan seiring.
"Kerajaan negeri, dengan kerjasama komuniti tempatan, badan bukan kerajaan (NGO) seperti Sabah Wetlands Conservation Society (SWCS), institusi penyelidikan, dan rakan antarabangsa, berjaya memulihkan ribuan hektar hutan bakau dan memperkenalkan projek ekopelancongan berasaskan komuniti.
"Projek-projek ini, bukan sahaja memperkasakan penduduk tempatan untuk mendapat manfaat secara langsung daripada aktiviti pemuliharaan tetapi juga mengukuhkan program pendidikan alam sekitar, serta menyokong penyelidikan saintifik dan pemantauan untuk membimbing dasar serta keputusan berasaskan bukti dalam pengurusan tanah bencah," jelasnya.
Beliau berkata, kerajaan turut sedar cabaran masih wujud dengan perubahan iklim, pembandaran, dan amalan tidak lestari terus memberi tekanan kepada tanah bencah Sabah.
“Inilah sebabnya Sabah giat melaksanakan penyelesaian berasaskan alam semula jadi, strategi penyesuaian iklim, dan kerjasama antarabangsa untuk memastikan usaha pemuliharaan kita kekal relevan dan berkesan.
"Kerajaan negeri komited untuk memperluaskan kawasan pemuliharaan tanah bencah, meningkatkan keupayaan penyelidikan dan pemantauan, serta melabur dalam mekanisme pembiayaan mampan seperti perdagangan karbon dan pampasan biodiversiti.
“Kita juga akan terus memperkukuh kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa, kerana perlindungan tanah bencah bukanlah tanggungjawab sesebuah kerajaan atau organisasi sahaja, tetapi satu amanah bersama seluruh dunia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengiktiraf komitmen SWCS yang sedang berusaha ke arah pencalonan dua lagi Tapak Ramsar Berkepentingan Antarabangsa iaitu Tanah Bencah Semenanjung Klias dan Tanah Bencah Lahad Datu.
Menurutnya, apabila usaha itu direalisasikan, ia akan terus mengangkat nama Sabah di peta dunia dalam pemuliharaan tanah bencah.
"Visi Sabah jelas, iaitu menjadi model bagaimana sumber semula jadi boleh diurus secara bertanggungjawab, iaitu pemuliharaan menyokong pertumbuhan ekonomi, dan rakyat kita dapat hidup harmoni dengan alam semula jadi,” katanya.
Beliau turut berpuas hati simposium kali ini menyediakan tiga sesi iaitu Sumber Marin (Ekonomi Biru), Rejim Kebakaran Tanah Bencah/Antara Muka Bandar-Tanah Bencah, dan Pemulihan serta Penjagaan Tanah Bencah, yang kesemuanya amat penting dan tepat pada masanya.
“Saya menggesa semua peserta untuk berkongsi idea, pengalaman, dan inovasi anda. Belajarlah antara satu sama lain, dan marilah kita membina kerjasama yang akan terus berkekalan selepas simposium ini berakhir.
“Bersama-sama, kita dapat mencari cara baharu dan mampan untuk memulihara tanah bencah, sambil memastikan ia kekal sebagai sumber kehidupan dan kemakmuran untuk generasi akan datang,” katanya.