PPM Sabah tumpas sindiket penyeludupan minyak subsidi
18:09 Sep 24, 2025  |  By SabahKini2
PPM Sabah tumpas sindiket penyeludupan minyak subsidi

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, sebelum itu pihaknya menerima maklumat awam dan risikan berkaitan kegiatan penyeludupan di kawasan berkenaan.

SEMPORNA: Taktik sindiket penyeludupan minyak bersubsidi yang menjadikan rumah atas air sebagai ‘stor’ akhirnya terbongkar selepas digempur Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 6 petang itu, sepasukan anggota Unit Gempur Marin (Ungerin) melakukan pemeriksaan menyeluruh di beberapa premis dan bot di kawasan Kampung Batu yang dipercayai menjadi lokasi transit minyak petrol sebelum diseludup ke negara jiran.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, sebelum itu pihaknya menerima maklumat awam dan risikan berkaitan kegiatan penyeludupan di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan 327 jerekin berisi petrol selain tiga bot yang dipercayai digunakan untuk aktiviti itu.

“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM252,075.25 dan kes kini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nazri berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras kegiatan haram yang menjejaskan keselamatan serta ekonomi negara.

“PPM Wilayah 4 Sabah komited untuk terus mempergiatkan usaha membanteras jenayah penyeludupan demi kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara,” katanya.

Comment