KOTA KINABALU: Tiga pakar forensik bebas hadir ke Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini, hari ini untuk memeriksa dokumen berkaitan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Peguam Mohd Syarulnizam Mohd Salleh berkata, tiga pakar berkenaan ialah Tay Eue Kam, Dr Dzulkiflee Ismail dan Dr Wan Nur Syuhaila Mat Desa.
Eue Kam adalah pemeriksa dokumen manakala Dr Dzulkiflee dan Wan Nur Syuhaila ialah pensyarah kanan serta penyelidik Program Sains Forensik Universiti Sains Malaysia (USM).
Menurut Mohd Syarulnizam yang mewakili keluarga Zara Qairina, pemeriksaan akan dijalankan mulai hari ini hingga Jumaat.
Dari segi kaedah, katanya, pasukan itu menggunakan peralatan seperti sinaran UV, inframerah, pengesan elektrostatik untuk mengesan sama ada tulisan dipadamkan; selain alat pengesan cap jari.
"Apa yang ingin kita capai dengan pemeriksa dokumen ini ialah meneliti lebih banyak aspek dokumen yang telah ditandakan (sebagai bukti) di mahkamah.
"Minggu lalu, kita sudah ada seorang pakar, Dr Lintihni Gannetion, yang mengkhusus dalam analisis tulisan tangan dan memeriksa tulisan pada kertas serta buku bertanda.
"Minggu ini pula, kita meneliti dokumen secara keseluruhan – termasuk analisis dakwat, pen yang digunakan, sama ada terdapat tanda pengubahsuaian, penambahan atau penghapusan," katanya pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.
Pada hari ketiga prosiding inkues sebelum ini, mahkamah telah memanggil saksi pemeriksa dokumen Jabatan Kimia Petaling Jaya, Nurul Atiqah Mohd Nor, yang meneliti 21 eksibit termasuk helaian koyak, buku, buku teks sekolah dan buku latihan.
Mohd Syarulnizam menambah, gaya tulisan Allahyarham adalah agak lazim dalam kalangan kanak-kanak yang sedang melalui fasa peralihan ke usia remaja, justeru lebih banyak sampel tulisan Zara Qairina dari beberapa tahun lalu akan diteliti.
"Ia dipanggil copy printing – di mana kanak-kanak sekolah rendah menulis dengan huruf bulat besar.
"Perkara ini memerlukan analisis teliti bagi menentukan sama ada tulisan itu sama atau tidak. Kita tidak boleh hanya bergantung kepada bukti yang ditender."
Beliau turut memaklumkan pasukannya membeli beberapa replika buku Love and Peace yang dipercayai milik Zara Qairina dan telah ditandakan sebagai eksibit di mahkamah.
Mereka dimaklumkan terdapat beberapa helaian buku berkenaan yang sudah dikoyak dan ditenderkan sebagai bukti.
"Tujuan kami adalah meneliti proses rekonstruksi, khususnya bagi buku Love and Peace ini, kerana helaian yang dikoyak dipercayai datang daripada buku itu – sekurang-kurangnya pada pemerhatian kasar.
"Kami juga mahu melihat sama ada terdapat helaian lain yang hilang atau ditambah. Ini antara objektif kami, iaitu meliputi lebih banyak aspek."
Mohd Syarulnizam berkata, wujud kemungkinan berlaku gangguan terhadap buku-buku berkenaan kerana ia sebelum ini disimpan di tempat yang mudah diakses oleh sesiapa termasuk rakan sekolah.
Pasukan itu juga memberi perhatian untuk menyusun dokumen yang ditender mengikut kronologi.
Inkues selama 17 hari, memasuki hari ke-13 hari ini dengan setakat ini 10 saksi sudah dipanggil memberi keterangan.