TUARAN: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berpuas hati dengan kemajuan Projek Jalan Raya Serusop-Pinturu sepanjang 20.8 kilometer di bawah Projek Lebuhraya Pan Borneo di sini.
“Saya melawat tapak kerja hari ini dan gembira melihat kemajuannya yang lebih awal daripada jadual,” katanya ketika ditemui selepas melawat salah satu bahagian jalan di Kampung Penimbawan di sini hari ini.
Pembinaan jalan bernilai RM465 juta itu bermula pada 20 Januari 2025 dan dijangka siap pada 19 Julai 2028.
Jalan raya satu lorong dua hala yang menghubungkan Tuaran dan Kota Belud itu turut merangkumi pembinaan sebuah jambatan sepanjang 682 meter.
Hajiji turut diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR)Negeri Sabah, Datuk Philemon Lajawai bersama pegawai JKR.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya.