KOTA KINABALU: Tiga buah rumah jenis tidak kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Kalansanan di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.25 petang sebelum mengerakkan 13 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas ke lokasi kejadian.
Bagi membantu operasi, BBP Kota Kinabalu dengan tujuh anggota dan BBP Tuaran dengan enam anggota turut digerakkan ke tempat kejadian.
“Pasukan tiba di lokasi pada jam 4.44 petang namun menghadapi kesukaran berikutan laluan yang sempit dan kesesakan lalu lintas pada waktu kemuncak.
“Kebakaran melibatkan tiga buah rumah jenis tidak kekal iaitu rumah pertama berkeluasan 60x40 kaki terbakar 100 peratus, rumah kedua berkeluasan 30x40 kaki turut musnah 100 peratus, manakala rumah ketiga berkeluasan 20x40 kaki terbakar sebanyak 10 peratus,” katanya.
Beliau berkata, operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan serta kaedah ‘offensive’ menggunakan sumber air daripada jentera Water Tanker.
“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 5.14 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.05 petang.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden ini,” katanya.