Penganjuran bersama SITE dan SICF ke-8 2025 jadi detik bersejarah
18:09 Sep 26, 2025  |  By SabahKini2
Penganjuran bersama SITE dan SICF ke-8 2025 jadi detik bersejarah

Pengerusi Penganjur SITE 2025, Datuk Richard Lim berkata, gabungan itu sekali gus menyediakan satu platform bersepadu dalam usaha memperkasakan lagi hubungan diantara industri, wilayah dan komuniti.

KOTA KINABALU: Penganjuran bersama Expo Pelaburan dan Perdagangan Sabah (SITE) 2025 serta Festival Kopi Antarabangsa Sabah (SICF) ke-8 2025 menjadi satu detik sejarah penting dalam sektor industri negeri ini.

Pengerusi Penganjur SITE 2025, Datuk Richard Lim berkata, gabungan itu sekali gus menyediakan satu platform bersepadu dalam usaha memperkasakan lagi hubungan diantara industri, wilayah dan komuniti.

"Daripada perdagangan dan pelaburan kepada pertanian dan inovasi, kami mengetengahkan yang terbaik dari Sabah sambil membuka pintu kepada kerjasama, peluang dan transformasi.

"Selain itu, kerjasama strategik turut melibatkan pameran sektor hartanah dari Property Hunter.

"Kami turut berbangga dengan penglibatan Mini Thailand Week 2025, satu pameran hubungan ekonomi dan budaya antara Thailand dan Sabah," katanya semasa dalam majlis pelancaran SITE 2025 dan SICF ke-8 2025, di sini hari ini.

Beliau berkata, kerjasama itu membuktikan kekuatan perkongsian rentas sempadan dan keutuhan kerjasama serantau, khususnya dalam kalangan negara ASEAN.

"Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah atas kepimpinan yang teguh dan sokongan berterusan terhadap inisiatif yang memajukan agenda ekonomi Sabah. 

"Tidak dilupakan juga kepada semua agensi kerajaan, rakan sektor swasta, dewan perniagaan, para pempamer dan penaja. Keyakinan anda terhadap platform ini telah menjadikannya satu kenyataan.

"Marilah kita manfaatkan peluang ini untuk membina perkongsian, berkongsi idea dan mencipta laluan ke arah pertumbuhan sambil menghubungkan Sabah dengan dunia yang lebih luas," katanya.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Comment