PPM tumpaskan 4 penyeludup serentak dalam operasi khas
18:09 Sep 26, 2025  |  By SabahKini2
PPM tumpaskan 4 penyeludup serentak dalam operasi khas

Dalam serbuan berasingan di perairan Kampung Lumanggas, Semporna, PPM turut merampas 42,000 batang rokok pelbagai jenama selepas berjaya mengesan sebuah bot pam mencurigakan.

KOTA KINABALU: Empat penyeludup termasuk penyeleweng diesel dan petrol bersubsidi, rokok serta minuman keras tidak bercukai tumpas serentak dalam operasi khas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah di Menumbok, Lahad Datu dan Semporna, semalam.

Operasi bermula jam 6.05 petang itu menyaksikan tangkapan pertama di Lahad Datu apabila seorang lelaki tempatan ditahan bersama sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang membawa enam tong dram berisi minyak diesel disyaki cuba diseleweng di kawasan Tungku.

Di perairan Gelam-Gelam, Semporna pula, PPM menahan seorang lelaki warga asing yang cuba menyeludup keluar 104 tong berisi petrol ke negara jiran.

Dalam serbuan berasingan di perairan Kampung Lumanggas, Semporna, PPM turut merampas 42,000 batang rokok pelbagai jenama selepas berjaya mengesan sebuah bot pam mencurigakan.

Sementara itu di Menumbok, seorang lelaki tempatan diberkas selepas didapati cuba menyeludup masuk 100 karton minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai menggunakan sebuah kenderaan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM326,664.50.

"Semua kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967.

"PPM Wilayah Empat Sabah komited membanteras aktiviti penyeludupan demi keselamatan serta kesejahteraan negara, selain mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan," katanya.

Comment