Lapan rumah setinggan musnah dan warga emas cedera melecur dalam kebakaran
21:09 Sep 29, 2025  |  By SabahKini2
Lapan rumah setinggan musnah dan warga emas cedera melecur dalam kebakaran

Ketua BBP Tawau, Timbalan Penguasa Bomba Jemishin Ujin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum 18 anggota bersama beberapa jentera dikejarkan ke lokasi.

TAWAU: Seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun melecur di bahagian tangan selepas lapan rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Kampung Hidayat, Jalan Apas, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 11.40 pagi itu, mangsa dihantar ke Hospital Tawau menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau untuk rawatan lanjut.

Ketua BBP Tawau, Timbalan Penguasa Bomba Jemishin Ujin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum 18 anggota bersama beberapa jentera dikejarkan ke lokasi.

Katanya, kebakaran berkenaan membabitkan sebanyak lapan rumah jenis tidak kekal dan sebuah kereta yang musnah sepenuhnya.

“Pasukan bomba bertindak menggunakan teknik ofensif dan defensif dengan satu aliran dua pancutan menggunakan sumber air dari jentera serta water tanker.

“Terdapat seorang mangsa lelaki melecur pada bahagian tangan dan dihantar ke Hospital Tawau menggunakan EMRS untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini

Beliau berkata, operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela Titingan dan Bomba Komuniti Kampung Hidayat.

“Sebanyak 350 rumah lain serta sebuah kilang papan berjaya diselamatkan daripada turut terbakar. Api berjaya dikawal pada jam 12.32 tengah hari sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.15 petang.

“Operasi turut mendapat bantuan 10 anggota polis, dua kakitangan Sabah Electricity (SE) dan 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

Comment