KOTA KINABALU: Saksi kelima kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner di sini, hari ini bahawa tabiat pelajar senior memarahi atau menegur secara keras adalah budaya biasa dalam kalangan pelajar asrama.
Peguam mewakili ibu arwah dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir itu, berkata saksi berkenaan menyebut bahawa pelajar junior mesti melalui pengalaman berkenaan.
"Saksi menyatakan bahawa tabiat pelajar senior memarahi atau menegur secara keras adalah budaya biasa dalam kalangan kawan-kawan pelajar asrama.
"Pelajar junior dianggap mesti melalui pengalaman tersebut kerana mereka sebagai pelajar senior sebelum ini juga mengalaminya," katanya mengulas perkembangan prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, yang memasuki hari ke-16, hari ini.
Ibu arwah, Noraidah Lamat diwakili peguam Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Peguam berkata, saksi ke-13 inkues berkenaan juga menyatakan bahawa dia rapat dengan kumpulan Circle 19, iaitu 19 orang pelajar yang sering melakukan aktiviti bersama.
Katanya, saksi juga menyatakan bahawa kata-kata kasar seperti 'bodoh, sial' yang digunakan oleh seorang daripada ahli Circle 19 terhadap Zara adalah bersama kawan-kawannya.
"Saksi juga mengambil inisiatif untuk mengenal pasti guru yang merampas telefon bimbit seorang pelajar pada pagi kejadian, kerana penggunaan telefon tidak dibenarkan di 'dorm'," katanya.
Saksi itu juga, katanya, menegaskan bahawa Allahyarham Zara Qairina adalah seorang pelajar ceria, peramah dan tidak menunjukkan tanda masalah mental atau tekanan emosi sebelum kejadian.
Saksi berkenaan selesai memberi keterangan sebelum tengah hari tadi, sebelum disambung saksi keenam kanak-kanak pada sebelah petang.
Sesi keterangan saksi keenam itu dijangka diteruskan lagi esok.

 
  
