PGA Briged Sabah rampas barangan seludup bernilai lebih RM11.8 juta
00:10 Oct 02, 2025  |  By SabahKini2
PGA Briged Sabah rampas barangan seludup bernilai lebih RM11.8 juta

Selain itu, antara rampasan lain termasuk kenderaan darat dan laut bernilai RM2.45 juta, rokok RM1.51 juta, makanan sejuk beku RM547,522.88 dan mesin serta jentera berat RM450,000.

KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah memperlihatkan komitmen berterusan membanteras kegiatan penyeludupan apabila berjaya merampas pelbagai barangan melebihi RM11.8 juta sepanjang September.

Pemangku Komander Briged Sabah PGA, Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata kejayaan itu hasil pelaksanaan beberapa operasi termasuk Op Taring ESZZONE/Daratan, Op Kontraband, Op Bersepadu Khazanah, Op Hazard (E-Waste) serta sekatan jalan raya (RCP).

“Sepanjang 1 hingga 30 September, sebanyak 49 serbuan dilakukan oleh anggota Ibu Pejabat Briged Sabah PGA bersama batalion di seluruh negeri.

“Daripada operasi itu, seramai 75 individu ditahan membabitkan 20 lelaki dan 12 wanita warga Filipina, lima lelaki serta seorang wanita warga Indonesia, dua lelaki warga China, dua lelaki warga Pakistan selain 31 lelaki dan dua wanita tempatan,” katanya.

Beliau berkata, rampasan terbesar melibatkan barangan lain bernilai RM6.44 juta.

“Selain itu, antara rampasan lain termasuk kenderaan darat dan laut bernilai RM2.45 juta, rokok RM1.51 juta, makanan sejuk beku RM547,522.88 dan mesin serta jentera berat RM450,000.

“Rampasan juga membabitkan barangan bersubsidi RM399,540.60, minuman keras RM32,665.05, dadah jenis syabu dan ketum RM12,325.40, manakala senjata api, peluru dan mercun bernilai RM200.

“Jika termasuk cukai, keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM11,861,011.73,” katanya.

Ahmad Radzi berkata, hasil kejayaan itu berjaya melemahkan rangkaian sindiket yang terlibat dalam pengedaran rokok seludup, minuman keras, makanan sejuk beku, barangan bersubsidi tanpa lesen sah dan dadah di Pantai Barat serta Pantai Timur Sabah.

Beliau berkata, PGA Sabah akan terus melaksanakan tugas menjaga keselamatan dan ketenteraman awam dengan penuh profesionalisme serta integriti demi kesejahteraan masyarakat.

“Kerjasama orang ramai sangat penting. Justeru, kami menyeru agar masyarakat tampil menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti penyeludupan yang berlaku di kawasan mereka,” katanya.

Comment