TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah menerusi Op Gempur Khas di kawasan perumahan pekerja ladang sawit di Kalabakan, semalam.
Suspek berusia 50-an itu ditahan kira-kira jam 7 malam ketika berada di ruang tamu rumah berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata pihaknya menerima maklumat dan risikan mengenai aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek menyerahkan sendiri satu beg kecil berzip hitam yang mengandungi satu paket plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis syabu seberat 63.42 gram.
“Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek dan semua rampasan dadah yang dianggarkan bernilai RM6,300 itu dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.
“Usaha mengesan individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan itu masih diteruskan dan pihak polis sedang giat menjalankan risikan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket terbabit.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan, selain Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana positif dadah,” katanya.
Jasmin menegaskan, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam pengedaran dadah.
“PDRM Tawau komited membanteras sindiket dadah habis-habisan kerana dadah adalah ancaman besar kepada keselamatan masyarakat.
“Justeru, orang ramai digesa menyalurkan maklumat segera kepada pihak polis bagi membantu usaha mengekang kegiatan ini,” katanya.

