KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menzahirkan penghargaan kepada syarikat-syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil membantu mangsa bencana di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia termasuk sumbangan yang dihulurkan oleh pihak PETRONAS dan Yayasan PETRONAS melibatkan bantuan bernilai RM980,000 setakat tahun ini.
Beliau berkata, sumbangan itu bukan sahaja meringankan beban mangsa banjir, malah membuktikan keprihatinan sektor swasta dalam berkongsi tanggungjawab bersama kerajaan negeri menjaga kebajikan rakyat.
Katanya, usaha itu memperlihatkan komitmen tinggi syarikat tenaga negara dalam memastikan kesejahteraan rakyat Sabah terus terbela, terutama ketika menghadapi bencana banjir.
Hajiji berkata demikian ketika menyaksikan penyerahan Sumbangan Bantuan Bencana daripada PETRONAS di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Sumbangan itu termasuk bekalan asas dan pelbagai bantuan lain disampaikan oleh Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
Bantuan terbaharu itu adalah sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh yang akan datang.
Dalam pada itu beliau menegaskan, sokongan sektor swasta dan NGO amat penting dalam melengkapi usaha kerajaan, sekali gus mempercepatkan pemulihan mangsa bencana.
"Kerajaan negeri berharap lebih banyak syarikat korporat tampil menghulurkan bantuan.
"Dengan adanya sokongan padu seperti ini, kita dapat memastikan bantuan sampai segera dan berkesan kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.
Sementara itu Siti Ayu berkata, inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen berterusan PETRONAS dalam menyokong kesiapsiagaan dan bantuan bencana di Sabah.
"Melalui kerjasama erat dengan agensi negeri dan Persekutuan, kami mahu memastikan bantuan sampai tepat pada masanya apabila diperlukan.
"Inisiatif ini juga dirancang secara proaktif setiap tahun bagi menyokong usaha kesiapsiagaan menghadapi musim banjir,” katanya.
Menurutnya, PETRONAS turut menyumbang peralatan, termasuk tilam lipat, kanopi, kipas dan bekalan air minuman selain bekalan paket makanan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta kad sumbangan bernilai RM10,000 untuk pembelian bahan api bagi operasi bantuan.
Katanya, setakat tahun ini, PETRONAS dan Yayasan PETRONAS menyalurkan sumbangan sebanyak RM980,000 bagi menyokong kesiapsiagaan serta bantuan pasca bencana di Sabah, termasuk sumbangan yang diberikan awal tahun ini.

