SPP tempatkan 1,000 guru baharu di Sabah sepanjang tahun 2025
17:10 Oct 02, 2025  |  By SabahKini2
SPP tempatkan 1,000 guru baharu di Sabah sepanjang tahun 2025

Pengerusinya, Datuk Adzman Talib, berkata langkah itu adalah sebahagian daripada pengisian 21,348 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) di seluruh negara, seperti yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) menempatkan seramai 1,000 guru baharu di sekolah-sekolah di Sabah sepanjang tahun ini, membabitkan 315 guru sekolah rendah dan 685 guru sekolah menengah.

Pengerusinya, Datuk Adzman Talib, berkata langkah itu adalah sebahagian daripada pengisian 21,348 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) di seluruh negara, seperti yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Sehingga 30 Jun lalu, kadar pengisian jawatan guru di Sabah mencapai 97.78 peratus, dengan 44,058 guru ditempatkan berbanding 45,057 jawatan diluluskan di 1,298 sekolah bawah KPM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, sempena kunjungan hormat di Menara Kinabalu, di sini, semalam.

Adzman berkata, meskipun kadar pengisian jawatan hampir penuh, Sabah masih berdepan kekurangan guru di beberapa kawasan selain cabaran peningkatan jumlah guru yang memilih untuk bersara awal.

“Pada 2024 sahaja, seramai 12,607 guru di seluruh negara bersara awal berbanding 13,192 pada 2023, manakala di Sabah, 947 kes dicatatkan tahun lalu berbanding 813 kes pada tahun sebelumnya.

“Antara faktor yang dikenal pasti ialah beban tugas pentadbiran dan tuntutan digitalisasi yang bertindih. SPP sedang bekerjasama rapat dengan KPM untuk mencari penyelesaian menyeluruh bagi memastikan kelestarian tenaga pengajar di sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Adzman turut memuji usaha kerajaan negeri di bawah kepimpinan Hajiji yang terus komited memperkasa sektor pendidikan melalui pelbagai inisiatif termasuk sokongan kepada sekolah dan pelajar di Sabah.

Sementara itu, Hajiji menzahirkan penghargaan terhadap peranan SPP dalam memastikan pelantikan guru berwibawa bagi memenuhi keperluan pendidikan negara.

Kunjungan hormat itu turut dihadiri Anggota SPP dari Sabah, Datin Seri Datuk Dr Nuinda Alias; Setiausaha SPP, Md Radzi Hassim; serta Setiausaha Bahagian Urusetia Cawangan Sabah, Intan Zainab Mohd Bustan.

Dalam program berasingan, Hajiji turut menyaksikan demonstrasi inovasi pendidikan digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) oleh syarikat tempatan, Samasama Works Sdn Bhd.

Pengarahnya, Albert Yek, berkata kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Sabah itu bertujuan memperkenalkan alat pembelajaran digital berkuasa AI ke sekolah-sekolah seluruh negeri dengan 100 unit awal akan diedarkan.

Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah; Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Raisin Saidin; serta pegawai kanan beberapa jabatan berkaitan.

Comment