Teruskan perjuanganmu tanpa menoleh kebelakang – Isteri Sul Aidil Sudi
18:10 Oct 03, 2025  |  By SabahKini2
Teruskan perjuanganmu tanpa menoleh kebelakang – Isteri Sul Aidil Sudi

Demikian luahan meruntun hati isteri seorang daripada aktivis Malaysia berasal dari Sabah yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Sul Aidil Sudi menerusi akaun Facebooknya, Shida Irni, pagi tadi.

KUALA LUMPUR: "Teruntuk Mujahidinku, nanti kita rayakan perjalanan hebat dan berliku ini. Jujur, ianya gelap dan sejuk. Malah juga terlalu sunyi."

Demikian luahan meruntun hati isteri seorang daripada aktivis Malaysia berasal dari Sabah yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Sul Aidil Sudi menerusi akaun Facebooknya, Shida Irni, pagi tadi.

Dalam hantaran sama, isteri kepada aktivis Cinta Gaza Malaysia (CGM) iaitu pertubuhan kemanusiaan diasaskan Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman atau Nadir Al-Nuri, itu turut menitipkan doa buat suaminya yang kini disahkan sudah berada dalam tahanan Israel.

Dalam hantaran yang turut disertakan foto mereka berdua, Shida berkongsi, hari ini, genap sebulan berjauhan dengan suaminya itu.

"Genap satu purnama berjauhan. Semoga bahumu kuat, semoga badanmu sihat, semoga hatimu sabar dan semoga fikiranmu tenang.

"Teruskan perjuanganmu tanpa menoleh kebelakang. Moga jalan ini Allah redha. Insya-Allah, kita jumpa nanti," katanya.

Titipan itu turut diiringi doa rakan Facebook yang turut berharap Sul Aidil akan pulang dan memohon Shida turut tabah berdepan ujian berkenaan.

Dalam hantaran berasingan hari ini, Shida turut berkongsi video SOS Sul Aidil dan meminta orang ramai membantu menyebarkan rakaman itu seluasnya.

Untuk rekod, Sul Aidil berada dalam kumpulan pertama Misi GSF dengan pelayaran mereka bermula pada 31 Ogos lalu dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol.

Kementerian Luar sebelum ini mengesahkan kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF ditahan Israel dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Comment