KINABATANGAN: Seorang kanak-kanak lelaki dan wanita warga emas ditemukan lemas selepas dihanyutkan kepala air di Kampung Bangkulut Imbak Timbangan Evogold Sdn Bhd, Tongod.
Dalam kejadian itu, kanak-kanak berusia tujuh tahun dilaporkan terlepas daripada genggaman ibunya sebelum dibawa arus deras, manakala wanita berusia 79 tahun pula gagal menyelamatkan diri ke kawasan lebih tinggi.
Kedua-dua mangsa ditemukan lemas pada jarak antara 200 hingga 250 meter dari lokasi mereka dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.46 malam sebelum menggerakkan lima anggota ke lokasi bersama bantuan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tongod.
“Setibanya anggota bomba di lokasi, paras air sungai naik mendadak dipercayai akibat kepala air dari hulu.
“Pasukan penyelamat memulakan operasi pencarian dalam radius 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, hasil pencarian menemukan mayat wanita warga emas warga Indonesia kira-kira 250 meter dari lokasi asal sebelum mayat kanak-kanak lelaki warga tempatan itu ditemui kira-kira 200 meter dari penemuan pertama.
“Kedua-duanya disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambahhya, tiada operasi pemindahan dijalankan kerana paras air sungai sudah surut sepenuhnya.
“Selepas memastikan tiada ancaman lain, operasi ditamatkan pada jam 5.04 pagi,” katanya.

