Pendaftaran tuntutan bayaran balik tunai dibuka 9 Oktober – Armizan
18:10 Oct 03, 2025  |  By SabahKini2
Pendaftaran tuntutan bayaran balik tunai dibuka 9 Oktober – Armizan

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata, langkah itu dibuat selepas kerajaan bersetuju memasukkan syarikat bot penumpang sebagai sebahagian daripada sektor pengangkutan awam yang berhak menerima subsidi.

KUALA LUMPUR: Syarikat bot penumpang yang layak menerima subsidi petrol RON95 di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan belum membuat pendaftaran 'fleet card' boleh membuat tuntutan bayaran balik bermula 9 Oktober ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata, langkah itu dibuat selepas kerajaan bersetuju memasukkan syarikat bot penumpang sebagai sebahagian daripada sektor pengangkutan awam yang berhak menerima subsidi.

Katanya, kelayakan itu tertumpu kepada bot penumpang di seluruh negara yang beroperasi di kawasan pulau atau sungai, di mana bot adalah mod pengangkutan utama.

"Kelayakan manfaat penyasaran subsidi ini tertakluk kepada syarat dan kriteria syarikat bot penumpang awam yang berdaftar di bawah Jabatan Laut Malaysia (JLM), Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) atau Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS)," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan fleet card kepada syarikat pengangkutan di sebuah stesen Petronas di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan bersetuju bot penumpang awam yang menggunakan petrol RON95 turut layak menerima subsidi sama ada di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95) atau SKPS, mengikut mekanisme yang akan ditetapkan.

Armizan berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF).

Menurutnya, pengusaha bot yang beroperasi secara berjadual di kawasan berpenduduk seperti laluan Kudat–Pulau Banggi turut layak menerima SKPS.

Sebagai langkah sementara, katanya, kerajaan akan melaksanakan pembayaran balik tunai untuk pembelian petrol RON95 bagi tempoh 30 September hingga 31 Oktober 2025.

Comment