KOTA KINABALU: Seramai 32 pendatang tanpa izin (PTI) terdiri daripada warga Filipina dan Pakistan ditahan dalam tiga operasi berasingan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di Kudat, Tenom dan Kota Kinabalu baru-baru ini.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Siti Saleha Habib Yusof berkata, operasi pertama dijalankan di Kudat pada 28 September lalu dengan pemeriksaan terhadap 67 individu di beberapa kawasan penempatan dan premis perniagaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati sembilan individu warga Filipina ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya.
Beliau berkata, operasi kedua dilaksanakan di Tenom pada 29 September lalu dengan memeriksa 52 individu.
“Daripada jumlah itu, 12 warga Filipina ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya.
“Operasi ketiga dijalankan pada 30 September di sekitar Kota Kinabalu dengan memberi tumpuan terhadap pekerja asing di sektor perkhidmatan dan restoran.
“Sebanyak 40 individu diperiksa dan 11 warga Pakistan ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja tanpa kebenaran yang sah,” katanya..mm
Siti Saleha berkata, semua 32 individu berusia antara 20 hingga 50 tahun itu ditahan dan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Papar untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.
“JIM Sabah akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran pendatang tanpa izin serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini sentiasa terpelihara.
“Kerjasama orang ramai amat penting dalam membantu jabatan menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran atau aktiviti warga asing yang mencurigakan agar tindakan segera dapat diambil,” katanya.