KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersikap terbuka terhadap ahli komponennya yang ingin meninggalkan parti itu berikutan hendak bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata malah pihaknya juga tidak mendesak ahli komponennya meninggalkan parti gabungan itu, sebaliknya menyerahkan mereka membuat keputusan sendiri.
Dalam masa sama, beliau yang juga Ketua Menteri Sabah turut menyatakan keyakinan terhadap kekuatan GRS untuk menang PRN17 berdasarkan kerjasama baik dalam kalangan parti komponen sedia ada selain sokongan padu rakyat.
"InsyaAllah kita akan menang pada pilihan raya nanti. Kita bersama rakan-rakan komponen lain terutama sekali Parti Bersatu Sabah (PBS) masih kukuh dan insyaAllah GRS terus kekal sebagai gabungan yang kuat dan mantap di Sabah.
"Kita mahu teruskan perjuangan ini kerana kita baru separuh jalan," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan dan Kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) Kampung Taka di perkarangan Dewan Masyarakat Daerah Pitas, di sini, hari ini.
Walaupun tidak menyebutnya, ucapan Hajiji itu dipercayai merujuk kepada keputusan GRS menamatkan keahlian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) pada Khamis lalu.
Kedua-dua parti berkenaan menyatakan keputusan untuk bertanding menggunakan logo sendiri pada PRN17 ketika perjumpaan kepimpinan parti komponen di Sri Gaya, pada malam sebelum itu.
Susulan itu, GRS kini hanya dianggotai enam parti iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), PBS, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
PRN17 Sabah dijangka diadakan bila-bila dari sekarang sekarang susulan tempoh penggal pemerintahan sekarang dijadual berakhir 11 November ini.
Hajiji berkata pelaksanaan agenda pembangunan di bawah dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sejak hampir lima tahun lalu adalah bukti nyata keupayaan kerajaan negeri memulihkan ekonomi dan memperkukuh kesejahteraan rakyat Sabah.
Katanya, mandat yang diberikan rakyat sejak September 2020 tidak disia-siakan, sebaliknya diterjemahkan melalui pelaksanaan SMJ.
"Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan sindiran, kepimpinan kerajaan tetap teguh melaksanakan amanah rakyat. SMJ bukan sekadar slogan, ia satu pelan bertindak yang menampakkan hasil," katanya.
Pada majlis berkenaan Hajiji mengumumkan tambahan 10 unit Rumah Mesra SMJ di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada golongan belia yang baru mendirikan rumah tangga bermula tahun depan.
Katanya, tambahan itu menjadikan sebanyak 50 unit Rumah Mesra SMJ dibina di setiap DUN berbanding 40 unit pada ketika ini.
"Dulu hanya ada empat atau lima rumah PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin), tapi tahun ini kita bagi 40 Rumah Mesra SMJ dan tahun depan kita usaha sebanyak 50 unit di setiap DUN untuk rakyat susah.
"Tambahan sebanyak 10 unit itu adalah untuk orang muda yang susah dan baru berkahwin kerana kita faham ada anak muda yang baru berkahwin masih tinggal di rumah keluarga," katanya.