KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua parti yang bakal bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 supaya menjalankan kempen masing-masing dengan baik.
Perdana Menteri berkata, setiap calon parti bertanding perlu berkempen secara berhemah supaya dapat memberi pilihan sebaiknya kepada rakyat, yang akan menentukan siapa bakal mendapat mandat untuk membentuk kerajaan negeri.
"Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bubar. Harap berkempen dengan baik, bagi pilihan sebaiknya kepada rakyat," katanya kepada media ketika ditemui selepas menghadiri Forum Megatrends Khazanah 2025 (KMF 2025) di sini, semalam.
Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN Sabah, sekali gus membuka laluan kepada PRN17.
Pilihan raya kali ini akan menyaksikan pertandingan bagi semua 73 kerusi DUN.
Hajiji membuat pengumuman pembubaran berkenaan pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Ketua Menteri Bersama Wakil Rakyat Kerajaan Sabah di Menara Kinabalu, yang juga pusat pentadbiran negeri, pada 2.54 petang tadi.
Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata pengumuman berkenaan dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.