KOTA BELUD: Dua pelancong warga China dilaporkan hilang selepas gagal dikesan sejak semalam ketika menginap di sebuah resort di Pulau Mantanani, di sini.
Mangsa lelaki dikenali sebagai Yu Xiapeng, 25, dan wanita, Fan Qin, 28.
Kedua-duanya dilaporkan mendaftar masuk ke resort berkenaan pada 2.14 petang, 4 Oktober lalu dan sepatutnya mendaftar keluar semalam, namun gagal dikesan hingga kini.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan itu daripada pihak keselamatan resort pada 7.57 malam Ahad.
"Kali terakhir pelancong lelaki dilihat memakai baju lengan panjang dan seluar panjang hitam, manakala pelancong wanita memakai baju berlengan pendek serta seluar pendek paras paha berwarna hitam.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan sejak semalam, membabitkan seramai 55 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Selain polis, agensi lain termasuk Pasukan Gerakan Udara (Unit Dron), Pasukan Gerakan Am (Platun Tek Mantanani), Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Tumpuan operasi adalah di kawasan daratan dan perairan Pulau Mantanani. Setakat ini, kedua-dua mangsa masih belum ditemui," katanya.
Shahrudin turut menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan, sebaliknya mana-mana pihak yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ketua Balai Polis Kota Belud, Inspektor Frankie Pain di talian 019-2151132.