Lima ADUN STAR kekal pendirian sokong GRS
16:10 Oct 08, 2025  |  By SabahKini2
Lima ADUN STAR kekal pendirian sokong GRS

Menurut kenyataan bersama kesemua ADUN berkenaan semalam, kestabilan politik negeri dan kesinambungan pembangunan adalah keutamaan di bawah Kerajaan Negeri Sabah yang ada sekarang.

KOTA KINABALU: Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) kekal dengan pendirian untuk terus bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Wakil rakyat STAR termasuk dua Timbalan Presiden STAR iaitu Datuk Ellron Angin yang juga penyandang kerusi Sook dan Datuk Robert Tawik (Bingkor); Datuk Abidin Madingkir (Paginatan); Datuk Annuar Ayub (Liawan); dan Flovia Ng (Tulid) menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor. 

Menurut kenyataan bersama kesemua ADUN berkenaan semalam, kestabilan politik negeri dan kesinambungan pembangunan adalah keutamaan di bawah Kerajaan Negeri Sabah yang ada sekarang. 

"Dengan demikian, kami berpegang kepada mandat serta kepercayaan yang diberikan rakyat kepada kami.

"Kami percaya, sebarang keputusan berkaitan dengan hala tuju parti wajar dibincangkan dengan teliti demi kepentingan rakyat dan negeri.

"Justeru, kami berdiri teguh untuk kekal bersama GRS dan mempertahankan kerusi kami atas lambang GRS," jelas kenyataan itu.

Langkah itu juga disifatkan sebagai tanda setia kepada mandat rakyat dan demi kestabilan Sabah.

Semasa pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah oleh Hajiji pada Isnin lepas, empat ADUN STAR berkenaan hadir sebagai tanda sokongan kepada GRS kecuali Robert yang dilaporkan kurang sihat.

Bagaimanapun, kelima-lima wakil rakyat berkenaan hadir pada Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS di sini, pada semalam.

Comment