SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan menyeludup barangan kosmetik dan rokok pelbagai jenama dalam dua operasi berasingan di perairan daerah ini, semalam.
Dalam operasi pertama yang dijalankan kira-kira jam 12.45 tengah hari di perairan Simunul, pasukan PPM berjaya merampas 15 kotak mengandungi 7,000 unit barangan kosmetik dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.
Pada jam 7 malam hari yang sama, satu lagi rampasan dilakukan di perairan Tanjung Manimpa membabitkan 400 karton rokok pelbagai jenama.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim, berkata jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM262,830.
“Kes ini disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa komited membanteras sebarang aktiviti penyeludupan di perairan Sabah dan mengalu-alukan kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat.
“PPM Wilayah 4 akan terus mempertingkatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara terjamin,” katanya.