Kemajuan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A kini mencapai 84.2% dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2027, menurut Kementerian Kerja Raya (KKR).
Projek strategik ini melibatkan 16 pakej kerja sepanjang 318 kilometer, dengan empat pakej telah siap sepenuhnya dan dibuka kepada rakyat:
-
WP05 Donggongon–Papar (29 Ogos 2022)
-
WP27 Kg. Lot M–Mile 32 (18 Nov 2022)
-
WP15 Tawau–Semporna (10 Ogos 2023)
-
WP21 Lahad Datu Bypass (30 Okt 2023)
Selebihnya, 12 pakej lain dijadualkan siap secara berperingkat menjelang suku pertama 2027.
Warisan Dulu Batalkan, Madani & GRS Siapkan
Hakikatnya, projek ini pernah terbantut apabila kerajaan Warisan Plus pada 2019 membatalkan model Project Delivery Partner (PDP) yang dilaksanakan melalui Borneo Highway PDP Sdn Bhd. Tindakan itu menyebabkan 11 pakej kerja terhenti.
[ARTIKEL BERKAITAN- Bukti Warisan susahkan rakyat: Tamatkan PDP, batal Sukuk DanaInfra punca projek Lebuhraya Pan Borneo lewat siap]
Namun, sebaik sahaja kerajaan Persekutuan mengambil alih melalui pendekatan konvensional bersama JKR Sabah sebagai Pegawai Penguasa, projek ini disambung semula. Kini, di bawah pentadbiran Kerajaan Madani bersama kerajaan negeri GRS, kerja-kerja berjaya dipacu sehingga hampir 90% siap.
Ironinya, walaupun Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan–Semporna) sibuk bertanya kos dan perkembangan projek di Parlimen, rakyat Sabah tahu siapa yang pernah menghentikan projek ini dahulu — dan siapa pula yang bekerja keras menyiapkannya sekarang.
Kos & Fasa Seterusnya
KKR memaklumkan, kos keseluruhan Fasa 1 di Sabah dianggarkan RM12.86 bilion pada peringkat awal (2016), tidak termasuk kos pengambilan tanah sebanyak RM2.53 bilion setakat ini.
Fasa 1B melibatkan 19 pakej kerja, kini mencapai 8.58% kemajuan dan disasar siap pada Oktober 2028.
-
Kesalinghubungan jalan raya Sabah-Sarawak
-
Perniagaan, pelancongan & logistik
-
Kesejahteraan rakyat luar bandar
Dengan pelaksanaan yang kini teratur, kerajaan Madani dan GRS membuktikan komitmen menyempurnakan legasi infrastruktur rakyat Sabah — sesuatu yang gagal direalisasikan di bawah Warisan Plus.