Semua pimpinan Gagasan Rakyat perlu bekerja keras untuk pastikan kemenangan – Hajiji
19:10 Oct 09, 2025  |  By SabahKini2
Semua pimpinan Gagasan Rakyat perlu bekerja keras untuk pastikan kemenangan – Hajiji

Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerjasama semua pimpinan parti, termasuk ketua bahagian sangat penting bagi memastikan

KOTA KINABALU: Semua pimpinan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) diingatkan supaya bekerja keras memastikan kemenangan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan rakan kerjasamanya, Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

Ketua Menteri yang juga Presiden Gagasan Rakyat  Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerjasama semua pimpinan parti, termasuk ketua bahagian sangat penting bagi memastikan kemenangan GRS untuk kembali menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau turut mengingatkan semua pimpinan parti bahawa PRN kali ini sangat kritikal kepada GRS, lebih-lebih lagi dengan pelbagai tekanan dari pihak pembangkang yang menyebarkan pelbagai dakyah dan penipuan untuk menjatuhkan kerajaan.

"Kita akan menghadapi pilihan raya yang paling kritikal. Saya minta semua ketua bahagian dan pimpinan empat peringkat Gagasan Rakyat untuk tolong calon yang dipilih oleh parti, tolong calon yang ditetapkan rakan kita iaitu PH.

"Kita mesti menang dalam pilihan raya ini. Saya tahu kita menghadapi tekanan yang begitu hebat, lebih-lebih lagi saya sendiri, termasuk dalam soal memilih calon.

"Tapi, kita mesti ada tolak ansur dan pengorbanan. Apa juga keputusan parti, kita mesti junjung dan hormati, kita beri kerjasama kerana yang penting kita mesti menang dan jadi kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perjumpaan Khas Bersama Ketua-Ketua Bahagian Gagasan Rakyat di sini, semalam.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS mengulangi keyakinannya terhadap kemampuan GRS bersama rakan kerjasamanya PH untuk kembali diberi mandat pada PRN17.

Menurutnya, GRS sudah sedia dengan jentera pilihan raya yang akan dilancarkan pada pertengahan Oktober ini dan yakin akan mencapai kejayaan pada pilihan raya sekiranya semua jentera terus bersatu.

Beliau berkata, selama lima tahun memerintah, kerajaan GRS sudah berusaha melaksanakan pelbagai program untuk rakyat dan membangunkan ekonomi Sabah dengan sebaik yang terdaya, malah  banyak kejayaan yang sudah dilakar.

Bagaimanapun katanya, pihak pembangkang sengaja menafikan kejayaan itu, malah menuduh dan bercakap bermacam-macam yang tidak baik kepada kerajaan, termasuk terhadap dirinya selaku Ketua Menteri.

"Pembangkang melempar macam-macam tuduhan kepada kita, terutama saya yang dituduh siang malam mengatakan kerajaan ini gagal.

"Tapi apa gagalnya kalau kita dapat mentadbir negeri dengan baik, malah memperkenalkan hala tuju yang jelas untuk membangunkan Sabah.

"Gagalkah kita kalau dulu kutipan negeri hanya RM4 bilion, tapi sekarang naik kepada RM7 bilion dan tahun depan dijangka lebih lagi dari RM7 bilion.

"Gagalkah kita apabila kita berjaya memeterai perjanjian dengan PETRONAS hingga banyak yang kita dapat manfaat dalam memajukan induatri minyak dan gas," jelasnya.

Hajiji berkata, sebelum ini amat sedikit syarikat tempatan Sabah yang terlibat tetapi hasil perjanjian dengan PETRONAS, lebih 100 syarikat tempatan Sabah diberi peluang oleh PETRONAS.

Terdahulu, Hajiji mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gagasan Rakyat yang turut dihadiri oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Naib-Naib Presiden, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd Arif, Datuk Rubin Balang dan Datuk Masiung Banah; Ketua Pergerakan Wanita Datuk Redonah Bahanda; Ketua Pemuda Datuk Fairuz Renddan; dan Ketua Pergerakan Beliawanis Emmie Martin Idang.

Turut hadir, Setiausaha Agung, Datuk Mohd Razali Razi; Bendahari Datuk Ghulamhaidar Khan Bahadar dan Ketua Penerangan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Comment