Imigresen Sabah tahan enam PTI dalam operasi khas
19:10 Oct 09, 2025  |  By SabahKini2
Imigresen Sabah tahan enam PTI dalam operasi khas

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, hasil pemeriksaan mendapati enam individu ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah.

SANDAKAN: Enam pendatang tanpa izin (PTI) ditahan Bahagian Penguatkuasa Pejabat Imigresen Sandakan dalam satu operasi khas yang dijalankan di sekitar daerah ini, semalam.

Operasi berkenaan dijalankan oleh enam pegawai penguatkuasa yang melakukan pemeriksaan terhadap 22 individu di beberapa lokasi sekitar daerah ini.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, hasil pemeriksaan mendapati enam individu ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah.

“Lima daripada mereka adalah warga Filipina manakala seorang lagi warga Pakistan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, dua majikan turut diberikan borang Imm.29 iaitu Saman kepada Saksi bagi membantu siasatan lanjut.

Sitti Saleha berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melindungi, menggaji atau bersekongkol dengan PTI.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sedia ada. Orang ramai digesa menyalurkan maklumat bagi membolehkan tindakan segera dan berkesan dilakukan,” katanya.

Comment