LAHAD DATU: Tiga maut, manakala tiga lagi cedera apabila kereta dinaiki mereka terbabas lalu terbalik di Batu 18, Jalan Sandau, Lahad Datu-Sandakan di sini, hari ini.
Semua mangsa terkorban adalah warga Indonesia dikenal pasti sebagai Erna Jamalddin, 36; Harlina, 38; dan Rajuddin, 41.
Mangsa parah pula dikenali sebagai Sudirman, 43; Marani Halaking, 46; dan seorang wanita berusia 40-an yang masih belum dikenal pasti identitinya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sumsoa Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.05 petang tadi.
Susulan itu, beliau berkata, sepasukan lapan anggota bersama dua jentera termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), dikerahkan ke lokasi.
"Setiba di lokasi, pasukan mendapati sebuah Proton Saga BLM terbabas lalu terbalik menyebabkan semua mangsa tersepit di dalam kereta itu.
"Pasukan kemudian menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan semua mangsa," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, tiga mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM).
"Tiga lagi mangsa pula parah dan dihantar ke Hospital Lahad Datu oleh ambulans KKM untuk rawatan lanjut.
"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.27 petang selepas memastikan kawasan kejadian selamat," katanya.