KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) memberi sokongan penuh dan menawarkan diri untuk mengetuai jentera pilihan raya bagi lima penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang memilih untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Biro Politik PBS yang dipengerusikan oleh Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam di sini hari ini.
Beliau berkata, mesyuarat berkenaan memutuskan supaya lima bahagian PBS di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook, Bingkor, Paginatan, Liawan, dan Tulid untuk memulakan perbincangan dengan penyandang ADUN di kawasan berkenaan.
Menurutnya, lima penyandang ADUN yang kekal menyokong GRS termasuk Datuk Ellron Angin (Sook), Datuk Robert Tawik (Bingkor), Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Datuk Annuar Ayub (Liawan)dan Datuk Flovia Ng (Tulid).
Joniston yang juga Ketua Penerangan GRS berkata, lima DUN berkenaan antara kawasan yang mempunyai akar umbi PBS yang kuat dan aktif.
"Kita yakin dengan menggabungkan sumber dan bekerjasama di lapangan, GRS dapat mengekalkan momentum serta terus meraih keyakinan para pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
"PBS telah lama menjalinkan kerjasama yang baik dengan mereka di peringkat akar umbi, dan usaha ini akan diteruskan dalam semangat perpaduan sejati GRS," jelasnya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, sokongan PBS didorong oleh kefahaman kerjasama dan kepercayaan antara parti komponen GRS amat penting bagi mengekalkan kestabilan politik serta memastikan pembangunan berterusan kepada rakyat.
Menurutnya, keputusan ini dibuat atas dasar tanggungjawab bersama untuk memelihara kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap GRS.
Pada masa sama katanya, PBS mahu meneruskan usaha yang sudah lama dimulakan di bawah GRS demi manfaat rakyat Sabah.