Kebakaran di Sandakan dan Lahad Datu memusnahkan 11 buah rumah
19:10 Oct 10, 2025  |  By SabahKini2
Kebakaran di Sandakan dan Lahad Datu memusnahkan 11 buah rumah

Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan cedera atau terlibat dalam kejadian ini dan punca kebakaran serta jumlah kerugian sedang disiasat.

SANDAKAN: 11 kediaman penduduk musnah dalam dua kejadian berasingan di Sandakan dan Lahad Datu malam Khamis.

Lapan daripada rumah terbabit musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Mankalinau di sini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 8.18 malam sebelum 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai.

“Setibanya di lokasi pada jam 8.22 malam, pasukan bomba mendapati lapan buah rumah jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 15x20 kaki persegi sedang terbakar.

“Pasukan operasi bertindak menggunakan kaedah ofensif dan defensif dengan satu aliran hos sepanjang 400 kaki serta dua pancutan air bersumberkan tangki jentera.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.38 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.20 malam selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi ancaman bahaya di kawasan terlibat,” katanya.

Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan cedera atau terlibat dalam kejadian ini dan punca kebakaran serta jumlah kerugian sedang disiasat.

Turut membantu di lokasi ialah lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan empat petugas Sabah Electricity.

Dalam perkembangan berasingan, tiga lagi rumah musnah dalam kebakaran di Jalan Silam, Kampung Sarip, Lahad Datu.

“Sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 8.05 malam, 21 anggota dari BBP Lahad Datu bergerak ke lokasi bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

“Rumah pertama berkeluasan 40x60 kaki persegi musnah sepenuhnya, manakala rumah kedua berkeluasan 30x40 kaki persegi terbakar 30 peratus dan rumah ketiga turut berkeluasan 30x40 kaki persegi terbakar 60 peratus.

“Pasukan bomba melaksanakan operasi pemadaman menggunakan kaedah ofensif dengan satu aliran hos sepanjang 400 kaki dan dua pancutan air yang bersumberkan air laut,” katanya.

Tambahnya, api berjaya dikawal pada jam 9.11 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.56 malam selepas pemeriksaan mendapati kawasan selamat daripada sebarang risiko kebakaran semula.

Comment