GRS-PH perlu jangkaan munasabah agihan kerusi untuk hadapi PRN17
19:10 Oct 10, 2025  |  By SabahKini2
GRS-PH perlu jangkaan munasabah agihan kerusi untuk hadapi PRN17

Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata apa yang penting ialah untuk kedua-dua gabungan mendapat kemenangan di kerusi yang ditandingi masing-masing pada pilihan raya itu nanti.

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) perlu mempunyai jangkaan munasabah berhubung agihan kerusi yang ditandingi kedua-dua pihak menerusi kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata apa yang penting ialah untuk kedua-dua gabungan mendapat kemenangan di kerusi yang ditandingi masing-masing pada pilihan raya itu nanti.

Katanya, jika GRS lemah, maka PH Sabah juga bakal berdepan perkara yang sama memandangkan kedua-duanya berkongsi kumpulan pengundi yang sama.

"Saya rasa itu perkara logik. Jika GRS menjadi lemah, secara tidak langsung rakan gabungan kami, PH, juga akan lemah kerana kita berkongsi kumpulan pengundi yang sama.

"Oleh itu, saya berpendapat kedua-dua pihak perlu mempunyai jangkaan yang munasabah. Matlamat utama ialah untuk memastikan kita memperoleh jumlah undi maksimum daripada kedua-dua pihak, iaitu PH dan GRS," katanya ditemui media selepas merasmikan Persidangan Vaskular Borneo Ketiga, di sini, hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kewangan interim Sabah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataannya sebelum ini yang menyifatkan tindakan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) keluar dari GRS sebagai isyarat kepada PH supaya tidak menuntut terlalu banyak kerusi.

Difahamkan PH menuntut 23 kerusi atau lebih berbanding 18 kerusi untuk PH dan 55 kerusi untuk GRS yang dipersetujui sebelum ini.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan itu berkata kedua-dua gabungan masih berunding mengenai perkara itu dan proses berkenaan berjalan dengan baik.

"Kami berbincang dengan baik, malah, rundingan sudah bermula dan berjalan dengan baik. Sabah berada dalam keadaan yang baik.

"Kita berharap sebelum hari penamaan calon nanti, keputusan agihan kerusi akan dapat diumumkan," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan bakal berlaku pertembungan kerusi antara kedua-dua gabungan, Masidi berkata kemungkinan itu dijangka tidak berlaku.

"Setakat ini, saya sendiri hadir dalam perbincangan dan nampaknya kedua-dua pihak mempunyai pandangan yang sama. Akhirnya, yang penting ialah kemenangan, bukan soal siapa dapat apa.

"Namun, jumlah kerusi tetap penting kerana ia menunjukkan bahawa PH menghargai GRS sama seperti GRS menghargai PH sebagai rakan gabungan," katanya.

Dalam pada itu, Masidi enggan mengulas kerjasama PH dengan Barisan Nasional (BN) yang disifatkannya sebagai urusan kedua-dua gabungan itu.

Katanya, GRS tidak terbabit dalam rundingan dengan BN Sabah termasuk untuk mengelak pertembungan dengan gabungan diketuai Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin itu.

"Tidak, bagi kami, itu urusan antara mereka (PH) dan BN. Ia tidak melibatkan kami, kami hanya fokus kepada kerjasama kami dengan PH," katanya.

Comment