Sabah, Sarawak terima peruntukan tinggi dalam Belanjawan 2026
19:10 Oct 10, 2025  |  By SabahKini2
Sabah, Sarawak terima peruntukan tinggi dalam Belanjawan 2026

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mulai 2026 juga, kadar pemberian khas Sabah dan Sarawak ditingkatkan kepada RM600 juta ketimbang RM300 juta pada 2023.

KUALA LUMPUR: Peruntukan pembangunan Sabah meningkat kepada RM6.9 bilion berbanding RM4.4 bilion pada 2022 manakala Sarawak terus meninggi kepada RM6 bilion ketimbang RM2.9 bilion tahun sama, jumlah tertinggi diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mulai 2026 juga, kadar pemberian khas Sabah dan Sarawak ditingkatkan kepada RM600 juta ketimbang RM300 juta pada 2023.

Menurutnya yang juga Menteri Kewangan, Kerajaan Madani bertekad memastikan kepesatan pembangunan di Sabah Sarawak bagi menyemangati Perjanjian Malaysia 1963.

"Ini bukan sekadar janji, tetapi tindakan nyata untuk merapatkan jurang pembangunan terutamanya prasarana asas," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Anwar turut memaklumkan, meskipun kawal selia bekalan elektrik diserah sepenuhnya kepada Sabah pada Januari tahun lalu, Kerajaan Persekutuan tetap menyediakan RM1.2 bilion untuk menjamin kelangsungan bekalan.

Justeru, jelasnya, Kerajaan Persekutuan akan menyediakan pembiayaan RM765 juta bagi Projek Talian Penghantaran 'Southern Link' sebagai langkah segera dalam memulihkan bekalan.

"Insiden tanah runtuh di Penampang memutuskan dua talian utama penghantaran elektrik voltan tinggi mengakibatkan gangguan bekalan kepada 230,000 pengguna pantai timur Sabah.

"Selain itu, sejak 2024, Kerajaan Persekutuan menyediakan pembiayaan RM1 bilion untuk projek air Sabah antaranya pemasangan paip di Tawau dan naik taraf paip usang di Kota Kinabalu, Penampang serta Putatan. Projek ini dalam fasa pelaksanaan dan dijangka siap tahun hadapan," ujarnya.

Ahli Parlimen Tambun itu mengumumkan bahawa sembilan pakej Pan Borneo Sarawak siap sepenuhnya dan telah dibuka untuk kegunaan rakyat.

Dalam masa sama, katanya, empat pakej Pan Borneo Sabah Fasa 1A telah siap dan pada 2026, sebanyak RM1.67 bilion disediakan serta dilaksana mengikut jadual.

Jelasnya lagi, Sarawak-Sabah Link Road Fasa (SSLR) 1 dijangka siap pada November 2026 manakala SSLR 2 dalam pembinaan dan berkemungkinan selesai pada pertengahan 2029.

"Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB) melengkapkan jalan perhubungan antara Sabah Sarawak. SST akan dikeluarkan seawal suku pertama 2026.

"Kerajaan akan menaik taraf struktur turapan jalan sedia ada bagi jajaran 'red line' di seksyen Durin dan Salim, Sibu, Sarawak dengan kos RM350 juta. Secara keseluruhannya, kesemua projek prasarana rakyat ini melibatkan kos mencecah RM48 bilion.

Bagi memastikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia menikmati manfaat digital sebaiknya, Anwar berkata, Sambungan Kabel Dasar Laut Madani (SALAM) yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sepanjang 3,190 kilometer (KM) dengan kos RM2 bilion akan dilaksanakan.

Ujar Anwar, ia melibatkan laluan dasar laut dari Sedili, Johor ke Kuching dan Sibu, Sarawak; seterusnya ke Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau di Sabah.

"RM20 juta disediakan untuk menambah tapak serta ruang niaga yang dilengkapi kemudahan asas kepada peniaga kecil Tamu Desa di Sabah dan Sarawak," kata Anwar.

Comment