PPM tumpaskan sindiket penyelewengan minyak sawit, rampasan bernilai RM 2.3 juta
20:10 Oct 11, 2025  |  By SabahKini2
PPM tumpaskan sindiket penyelewengan minyak sawit, rampasan bernilai RM 2.3 juta

Dalam operasi jam 4 petang itu, anggota PPM Wilayah 4 hasil risikan Unit Risikan Marin (URM) menyerbu gudang berkenaan yang dijadikan lokasi penyimpanan serta pemindahan minyak sawit mentah secara haram.

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 33,040 liter minyak sawit mentah bersama kenderaan dan peralatan bernilai lebih RM2.3 juta selepas menumpaskan kegiatan penyelewengan komoditi itu dalam satu serbuan di sebuah gudang di daerah ini, semalam.

Dalam operasi jam 4 petang itu, anggota PPM Wilayah 4 hasil risikan Unit Risikan Marin (URM) menyerbu gudang berkenaan yang dijadikan lokasi penyimpanan serta pemindahan minyak sawit mentah secara haram.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, serbuan membawa kepada penahanan tiga lelaki iaitu seorang warga tempatan dan dua warga asing yang disyaki terbabit dalam aktiviti berkenaan.

"Turut dirampas dua lori treler, enam tangki treler jenis IBC serta 33,040 liter minyak sawit mentah yang dipercayai disimpan untuk tujuan penyelewengan.

"Anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk minyak sawit, kenderaan dan peralatan adalah sebanyak RM2,375,632," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Nazri berkata, kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Lembaga Sawit Malaysia 2005 bagi tindakan lanjut, manakala pihaknya sedang mengenal pasti jaringan sindiket yang terbabit.

Comment