Gabungan GRS dan PH dalam PRN17 mudahkan tuntutan 40 peratus hasil Sabah – Armizan
02:10 Oct 13, 2025  |  By SabahKini2
Gabungan GRS dan PH dalam PRN17 mudahkan tuntutan 40 peratus hasil Sabah – Armizan

Armizan menjelaskan perkara berkaitan Pemberian Khas ini juga akan dimasukkan dalam manifesto GRS pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

PAPAR: Kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal membuka laluan yang meyakinkan ke arah penyelesaian tuntutan 40 peratus hasil Sabah.

Timbalan Setiausaha GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu sudah terbukti selepas kerajaan negeri bawah pimpinan GRS diterajui Datuk Hajiji Noor membuat rundingan semula dan berjaya menaikkan kadar kepada RM125.6 juta bagi 2022.

"Apabila terbentuknya Kerajaan Madani di peringkat persekutuan pada penghujung tahun 2022, perbincangan semula diadakan untuk menaikkan kadar Pemberian Khas.

"Melalui hubungan baik kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, dan komitmen tinggi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri, kadar Pemberian Khas dinaikkan kepada RM300 juta pada 2023; RM306 juta bagi tahun 2024 dan meningkat lebih tinggi iaitu RM600 juta bermula tahun ini.

"Kadar ini juga adalah pengaturan interim dan tidak prejudis kepada hak Sabah untuk terus menuntut formula 40 peratus dipenuhi," katanya dalam sidang media di di Dewan Terbuka Kampung Ulu Sapat, di sini, hari ini.

Armizan menjelaskan perkara berkaitan Pemberian Khas ini juga akan dimasukkan dalam manifesto GRS pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

"Itu akan tetap menjadi perkara asas kerana kita mahu jumlah ini akan terus dibincangkan.

"Asasnya berbeza dengan Sarawak ... kerana dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan ini, Sarawak tidak disebut pun tetapi inilah kebijaksaan pejuang kita dulu di Sabah yang memperjuangkan ada (mewujudkan) formula khusus 40 peratus perlu dikembalikan.

"Jadi orang cakap kalau kita mahu mengabaikan formula itu, maka kita adalah pengkhianat. Jadi GRS akan terus perjuangkan hak itu supaya ia terus ditingkatkan. Isu ini akan jadi teras kepada manifesto GRS," katanya.

Sementara itu, Armizan mempersoalkan pencapaian Parti Warisan (WARISAN) dalam menuntut hak 40 peratus hasil Sabah ketika menerajui pentadbiran negeri ini pada 2018 hingga 2020.

Katanya, Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal wajar beri penjelasan berhubung perkara itu kerana Kabinet Sabah ketika itu hanya terima RM53.5 juta hasil yang jauh berbanding 40 peratus yang sepatutnya diterima.

Armizan berkata, Pemberian Khas diterima pada 1973 iaitu RM26.7 juta dan ia tidak pernah disemak selama lebih 45 tahun di bawah pentadbiran kerajaan BN yang berkuasa di kedua-dua peringkat kerajaan negeri dan persekutuan ketika itu.

"Kemudian tampil Parti WARISAN pada 2018 yang menyifatkan BN gagal laksana MA63 selama berpuluh tahun.

"WARISAN berkuasa hasil kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan hasil lompatan ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018. "WARISAN tampil dengan pelbagai slogan 'Sabah Ubah' dan kini 'Selamatkan Sabah'.

"Pemimpin WARISAN mendendangkan retorik berapi dan penuh emosi tapi apa 'track record' WARISAN dalam menuntut hak 40 peratus hasil Sabah sepanjang mereka berkuasa dari 2018 hingga 2020?

"Mereka mencanangkan BN gagal tapi bersyukur dan tunduk dengan tawaran Kerajaan Persekutuan dengan hanya semakan kenaikan dari RM26.7 juta kepada RM53.4 juta sebagaimana yang terkandung dalam pembentangan Belanjawan Persekutuan 2020 yang dibentangkan pada 11 Oktober 2019.

"Jumlah ini amat kecil jika mengambil kira tempoh 45 tahun tanpa semakan, apatah lagi amat jauh berbanding kadar sepatutnya 40 peratus," katanya.

Armizan menyifatkan tindakan WARISAN itu satu kegagalan dalam menunaikan amanah negeri dan rakyat.

"Keputusan WARISAN dengan bersetuju menerima kadar yang amat kecil itu menggambarkan parti itu tidak boleh dipercayai sebagai penyelamat Sabah" katanya.

1 Comment