SANDAKAN: Sebanyak 1,660 program Jualan Rahmah MADANI dilaksanakan di negeri ini, sekali gus memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sabah.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata pihaknya akan memastikan program berkenaan yang dilaksanakan tiga kali sebulan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terus diperkasa.
Katanya, beliau yakin program berkenaan juga akan terus berkembang tahun hadapan selaras peruntukan RM600 juta menerusi Program Payung Rahmah yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2026.
"Kita akan pastikan program Jualan Rahmah akan terus berkembang dan dapat memberi manfaat kepada rakyat.
"Sepanjang tahun ini di Sabah, kita sudah adakan sebanyak 1660 program iaitu sebanyak tiga kali sebulan di setiap DUN. Ia satu jumlah yang banyak," katanya kepada pemberita selepas meninjau bekalan barang keperluan dan Program Menu Rahmah di pasar raya Mydin, di sini, hari ini.
Mengenai lawatan itu, Fuziah berkata, ia bertujuan untuk meninjau barangan keperluan dan memastikan bekalan mencukupi menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN-17).
Sepanjang pilihan raya, katanya, pihaknya menjangkakan ramai orang daripada luar akan berada di negeri ini dan pihaknya mahu memastikan bekalan barang keperluan adalah mencukupi.
"Kita mahu memastikan bahawa bekalan itu mencukupi. Supaya tidak ada aduan yang mengatakan tiada gula, tiada minyak dan sebagainya.
"Jadi (berdasarkan) tinjauan tadi, kita lihat bahawa semua bekalan itu mencukupi," katanya.