KUALA LUMPUR: Pasukan pakar forensik dokumen dijadualkan hadir ke prosiding inkues Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, di Mahkamah Koroner, Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.
Pasukan yang dianggotai oleh Tay Eue Kam, Dr Dzulkiflee Ismail dan Dr Wan Nur Shuhaila Mat Desa adalah bagi melakukan pusingan kedua pemeriksaan dokumen.
Pemeriksaan itu bertujuan memeriksa 11 item bahan dokumen yang baru dibuka oleh saksi ke-17, seorang ahli kimia dan pakar DNA.
Ia bagi membandingkannya dengan bahan ekshibit lain yang sudah ditender di mahkamah dan juga bahan dokumen dibekalkan oleh pihak anak guam Shahlan Jufri.
Pemeriksaan itu akan dilakukan selama dua hari sehingga esok (Selasa) di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada keesokan harinya.