PDM Keningau Station terus setia menyokong GRS
16:10 Oct 13, 2025  |  By SabahKini2
PDM Keningau Station terus setia menyokong GRS

Beliau menambah bahawa kesetiaan kepada GRS bukan sekadar pendirian politik, tetapi cerminan kepercayaan terhadap hala tuju Sabah yang lebih stabil, progresif dan bersatu.

KENINGAU: Pusat Daerah Mengundi (PDM) Keningau Station di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor memutuskan untuk terus menyatakan sokongan terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dibawah pimpinan Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor.

Keputusan sebulat suara itu turut dipersetujui bersama empat sayapnya, yang bukan sahaja menegaskan kesetiaan terhadap GRS tetapi pada masa sama menyambut baik pendirian lima penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang mengambil keputusan kekal bersama GRS.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas PDM yang dihadiri ahli-ahli PDM itu, sebagai simbol komitmen dan keutuhan perjuangan bersama penyandang ADUN Bingkor, Datuk Robert Tawik untuk terus mendukung kepimpinan GRS di peringkat negeri.

Ketua PDM Keningau Station, Haji Yazid Mohd Hasnan Tawik Mansai @ Charles, menegaskan bahawa kestabilan politik negeri merupakan asas kepada pembangunan berterusan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

"Kita perlu kestabilan politik negeri, kerana hanya dengan kestabilan, pembangunan dapat diteruskan dengan lancar demi kepentingan rakyat.

"Kesinambungan pembangunan di bawah kerajaan negeri yang diterajui oleh Datuk Seri Hajiji Noor mesti dikekalkan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat itu.

Beliau menambah bahawa kesetiaan kepada GRS bukan sekadar pendirian politik, tetapi cerminan kepercayaan terhadap hala tuju Sabah yang lebih stabil, progresif dan bersatu.

“Kami percaya perjuangan bersama GRS adalah landasan terbaik untuk menjamin kemajuan kawasan Bingkor serta kesejahteraan rakyat Sabah secara keseluruhan," katanya.

Sokongan jitu daripada PDM Keningau Station secara tidak langsung memperlihatkan bahawa semangat akar umbi kekal utuh di bawah payung GRS, menolak politik perpecahan dan memilih kestabilan sebagai kunci kemajuan rakyat serta masa depan Sabah.

Comment