Tiada isu tanding atas tiket keahlian terus GRS dalam PRN17 – Armizan
22:10 Oct 13, 2025  |  By SabahKini2
Tiada isu tanding atas tiket keahlian terus GRS dalam PRN17 – Armizan

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, lima bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang sudah sah keluar parti berkenaan boleh bertanding sebagai calon GRS.

KOTA KINABALU: Tidak ada isu yang perlu dibangkitkan untuk calon bertanding atas tiket keahlian terus (direct member) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) ini.

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, lima bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang sudah sah keluar parti berkenaan boleh bertanding sebagai calon GRS.

"Untuk bertanding dalam PRN17 mereka mempunyai dua pilihan iaitu pertama mesti menganggotai mana-mana parti komponen dalam GRS dan kedua mereka boleh mendaftar keahlian terus GRS jika tidak menganggotai mana-mana parti komponen GRS.

"Ada yang cakap GRS ini bukan parti...saya pun tidak tahu daripada mana mereka dapat maklumat sedemikian sedangkan calon-calon keahlian terus GRS telah bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

"Justeru, pesanan saya kepada mereka, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah benarkan, SPR bukan baharu ditubuhkan dan SPR juga ada undang-undang," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, undang-undang dalam SPR membenarkan mana-mana parti yang bertanding dengan logo hendaklah berdaftar sebagai sebuah parti di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Menurutnya, jika SPR sudah benarkan GRS bertanding dalam PRU yang lepas, tidak sepatutnya timbul isu calon tidak boleh bertanding atas tiket keahlian terus GRS dalam PRN17.

"Sudah terbukti saya calon yang bertanding atas logo dan watikah GRS dalam pilihan raya yang lepas. Justeru, tidak ada isu yang mengatakan tidak ada orang yang boleh bertanding atas tiket keahlian terus GRS," katanya.

Selain itu Armizan turut menjelaskan, sekiranya calon berkenaan adalah ahli parti komponen GRS dan ingin masuk ke parti lain dalam GRS, perkara seperti itu yang tidak boleh dibuat kerana dianggap sebagai melompat parti.

Namun katanya, jika bertanding melalui parti induk iaitu GRS, calon berkenaan boleh bertanding kerana mempunyai keahlian terus dalam GRS. Dalam pada itu, beliau diberikan mandat untuk mempengerusikan jawatankuasa teknikal untuk penggubalan manifesto GRS bagi menghadapi PRN17 ini.

Menurutnya,  sebelum ini beberapa siri libat urus dilaksanakan seperti mesyuarat khususnya dengan parti-parti komponen GRS termasuklah bersama STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP).

"Sudah tentu teras kerangka awal yang dibuat dalam GRS melibatkan agenda yang sama dengan STAR dan SAPP. Walaupun mereka tidak lagi bersama-sama kita, tetapi mereka juga mewakili rakyat Sabah dan mereka juga mempunyai kebimbangan sebagai rakyat Sabah.

"Justeru, tidak ada isu walaupun mereka tidak bersama lagi dalam GRS, kita tidak akan keluarkan daripada manifesto apa yang dicadangkan oleh mereka sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, pada asasnya cadangan yang dikemukakan oleh STAR dan SAPP adalah merujuk kepada kebimbangan daripada rakyat Sabah dan tentunya ia penting untuk masa depan rakyat negeri ini.

Menurutnya, manifesto GRS dibuat dengan mengadakan libat urus beberapa beberapa pemegang taruh daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan juga pihak industri.

"Kita bukan hanya mahu syor dan pandangan daripada kalangan ahli-ahli ataupun parti-parti komponen GRS, tetapi turut melibatkan masyarakat madani lain dan komuniti awam.

"Pelancaran manifesto GRS ini tertakluk kepada pengumuman SPR nanti dan kita akan paparkan atau kemukakan kepada umum setelah proses penamaan calon selesai," katanya.

Terdahulu, Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengumumkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 selepas mengadakan sesi libat urus dengan dewan-dewan perniagaan yang mewakili masyarakat India di Sabah iaitu Dewan Perniagaan India Sabah, Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Sabah dan Dewan Perniagaan Muslim Sabah.

Comment