Inkues Zara Qairina: Saksi pernah dipanggil pelajar senior, dituduh mencuri makanan
22:10 Oct 13, 2025  |  By SabahKini2
Inkues Zara Qairina: Saksi pernah dipanggil pelajar senior, dituduh mencuri makanan

Saksi kanak-kanak ke-11 yang juga saksi ke-20 inkues itu memberitahu perkara berkenaan kepada Mahkamah Koroner ketika ditanya peguam mengenai kejadian menimpa arwah sebelum ditemui tidak sedarkan diri.

KOTA KINABALU: Seorang saksi kanak-kanak dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir hari ini mengaku pernah dipanggil pelajar senior ketika masih berstatus junior beberapa tahun lalu, kerana dituduh mencuri makanan.

Saksi kanak-kanak ke-11 yang juga saksi ke-20 inkues itu memberitahu perkara berkenaan kepada Mahkamah Koroner ketika ditanya peguam mengenai kejadian menimpa arwah sebelum ditemui tidak sedarkan diri pada awal pagi 16 Julai lalu.

Peguam Joan Goh yang mewakili seorang tertuduh kanak-kanak dalam inkues itu, berkata saksi berkenaan sebelum itu mengaku mengetahui mengenai arwah Zara Qairina dipanggil senior berhubung kes kehilangan kad bank kawan arwah dan lencana Jalur Gemilang ketua bilik.

"Saksi ketika (berstatus) junior juga mengatakan pernah dipanggil pelajar senior. Sebab apa dipanggil, saksi hanya ingat kerana saksi disyaki mencuri makanan pelajar senior," katanya menceritakan semula keterangan saksi pada prosiding hari ke-21 di Mahkamah Koroner, di sini, hari ini.

Joan berkata, saksi bersetuju bahawa pada malam 15 Julai lalu, apabila arwah Zara Qairina disyaki mencuri dan pelajar senior berjumpa dengan arwah, ia kerana menjalankan tanggungjawab sebagai pelajar senior.

Sementara itu, katanya saksi memberitahu mahkamah kira-kira jam 3.50 pagi pada 16 Julai lalu, dia terbangun sebelum seorang pelajar memaklumkan "ada orang mati".

"Saksi dan semua pelajar lain berlari ke hujung tangga di depan bilik sebab 'orang' itu telah diangkat ke hujung asrama sementara menunggu ambulans sampai.

"Saksi kemudiannya pergi ke surau dan setibanya di surau barulah saksi tahu 'orang' yang dimaksudkan itu ialah arwah Zara Qairina," katanya.

Joan berkata pada jam 6.30 pagi 16 Julai lalu, saksi menyatakan dia bersama-sama pasukan hoki sekolah pergi ke Kompleks Sukan Likas untuk menghadiri perlawanan hoki.

Katanya, sekembali dari pertandingan itu pada kira-kira jam 6 petang, saksi mendapat tahu arwah Zara Qairina sudah tenat.

"Saksi hanya tahu mengenai kejadian berlaku di bilik asrama selepas diceritakan seorang pelajar. Menurut cerita pelajar ini, tiada kejadian pukul berlaku ke atas Zara Qairina," katanya.

Saksi katanya turut memberitahu mahkamah sepanjang mengenali arwah Zara Qairina, dia mendapati arwah adalah seorang yang baik dan suka menegur orang.

"Contohnya dia akan memberi salam kepada saksi - 'Assalamualaikum kak' dan Zara juga suka berkongsi makanan," katanya.

Joan bersama Datuk Ram Singh dan Prem Elmer Ganasan mewakili seorang kanak-kanak yang berdepan pertuduhan buli di Mahkamah Kanak-Kanak yang juga saksi dalam inkues kematian arwah Zara Qairina.

Comment