Tiga rumah pekerja musnah terbakar, satu warga emas cedera
18:10 Oct 14, 2025  |  By SabahKini2
Tiga rumah pekerja musnah terbakar, satu warga emas cedera

Dalam kejadian kira-kira jam 8.55 malam itu, mangsa melecur pada bahagian tangan dan belakang badan sebelum menerima rawatan awal daripada pasukan bomba dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

SANDAKAN: Seorang warga emas berusia 68 tahun cedera selepas tiga rumah pekerja musnah dalam kebakaran di kawasan perumahan pekerja KLK Minat Teguh, Batu 23, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.55 malam itu, mangsa melecur pada bahagian tangan dan belakang badan sebelum menerima rawatan awal daripada pasukan bomba dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.55 malam.

Katanya, sepasukan 14 anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

“Kebakaran membabitkan tiga rumah pekerja jenis tidak kekal termasuk satu rumah empat pintu yang semua strukturnya terbakar 100 peratus.

“Sebuah kereta turut musnah trebakar sepenuhnya dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran salur bantu mula secara ofensif dengan sumber air diperoleh daripada jentera dan water tanker.

“Api berjaya dikawal daripada merebak pada jam 10 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.33 malam.

“Tiada kemalangan jiwa lain dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Jimmy berkata, mangsa yang cedera dihantar ke hospital oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut.

Comment