GRS-PH sudah muktamadkan agihan kerusi untuk PRN17
18:10 Oct 14, 2025  |  By SabahKini2
GRS-PH sudah muktamadkan agihan kerusi untuk PRN17

Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara mengenai jumlah bilangan agihan kerusi berkenaan tidak boleh diumumkan sekarang.

TAMBUNAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) telah memuktamadkan agihan kerusi masing-masing yang akan diumumkan pada hari penamaan calon nanti. 

Bagaimanapun, Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara mengenai jumlah bilangan agihan kerusi berkenaan tidak boleh diumumkan sekarang.

"Ya, kami sudah tahu (tapi) saya tidak boleh umumkan sekarang. Tunggu sahaja pada hari penamaan calon dan anda akan tahu bilangannya,” katanya hari ini ketika ditanya sama ada GRS dan PH sudah mencapai keputusan mengenai pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) ini.

Beliau turut memaklumkan, GRS akan melancarkan manifestonya selepas hari penamaan calon dan memberi jaminan akan menawarkan yang terbaik kepada rakyat Sabah.

Hajiji yakin mandat rakyat akan dikembalikan kepada GRS-PH berdasarkan rekod cemerlang pentadbiran selama lima tahun.
 
"Kami telah mencapai banyak kejayaan melalui pelbagai program sosioekonomi untuk rakyat dan membawa pelaburan berimpak tinggi bagi merancakkan pembangunan ekonomi Sabah.
 
"Kerajaan negeri juga membelanjakan lebih RM1.3 bilion untuk inisiatif pembangunan modal insan serta memberi bantuan bulanan sebanyak RM300 kepada golongan miskin tegar dalam senarai e-Kasih," katanya.

Menurutnya, kerajaan GRS juga mencatat kejayaan dalam industri minyak dan gas dan pihak pembangkang cuba menafikan kejayaan itu.

"Tetapi saya percaya rakyat kini matang dan akan menghargai pencapaian kami,” katanya. 

Dalam pada itu, Hajiji berkata, PRN kali ini akan lebih meriah dengan banyak parti politik mengumumkan hasrat mereka untuk bertanding.

Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai lambang demokrasi yang sepatutnya diraikan. Terdahulu, Hajiji mengadakan lawatan ke Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan Tambunan di sini bagi meninjau keadaan sekolah itu yang musnah akibat kebakaran.

Beliau turut mengumumkan bantuan berjumlah RM260,000 untuk sekolah itu yang disumbangkan oleh kerajaan negeri, Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). 

Comment