Shahelmey pertimbang pertahan kerusi Tanjung Keramat pada PRN17
18:10 Oct 14, 2025  |  By SabahKini2
Shahelmey pertimbang pertahan kerusi Tanjung Keramat pada PRN17

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putatan pun begitu masih belum dapat mengesahkan hala tuju mahupun parti yang akan disertainya jika mengambil keputusan untuk bertanding.

PUTATAN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya mengesahkan akan mempertimbangkan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putatan pun begitu masih belum dapat mengesahkan hala tuju mahupun parti yang akan disertainya jika mengambil keputusan untuk bertanding.

"Pilihan raya adalah kuasa rakyat dan ia bukan masa cabar-mencabar. Oleh itu, kita biarkan rakyat menunaikan hak mereka memilih pemimpin yang mahu diberikan mandat.

"Paling penting sekarang, saya maklumkan akan mempertimbangkan untuk bertanding. Nanti baru kita umumkan parti kerana masih banyak perundingan yang perlu dipertimbangkan antara parti yang ada," katanya selepas merasmikan Seminar Lelaki Qawwam dan Bidadari Syurga serta Kursus Perdana Pra Perkahwinan di Dewan Sri Putatan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua UMNO dan BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin semalam yang mencabar beliau bertanding tanpa menggunakan lambang Barisan Nasional (BN).

Pada PRN Sabah lalu, Shahelmey memenangi kerusi DUN Tanjung Keramat atas tiket BN. Bung sebelum ini mengesahkan Shahelmey bersama bekas ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy tidak akan dicalonkan BN dalam PRN17.

Kedua-dua mereka digantung keahlian dalam UMNO selama enam tahun sejak awal 2023 selepas menentang keputusan UMNO Sabah untuk menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mencetuskan kemelut politik dinamakan Langkah Kinabalu.

Sekiranya bertanding atas tiket GRS, kedua-dua mereka perlu mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing kerana ia dimenangi atas tiket BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sabtu lalu, Hajiji mengesahkan GRS tiada halangan mencalonkan Shahelmey dan Andi Muhammad Suryady atas tiket GRS pada PRN17. Malah, katanya, kedua-duanya juga sudah menyatakan hasrat berbuat demikian.

Mengulas lanjut, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata fokus utamanya kini adalah untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Justeru, rasanya tiada keperluan tergesa-gesa untuk membuat pengumuman," katanya.

1 Comment