SIPITANG: Malaysia bakal mewajibkan semua platform media sosial melaksanakan proses pengesahan identiti pengguna atau electronic Know Your Customer (eKYC) bagi memastikan kanak-kanak bawah umur 13 tahun tidak memiliki akaun.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata langkah itu adalah bagi melindungi keselamatan kanak-kanak di alam maya serta memastikan garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh platform berkenaan benar-benar dikuat kuasa.
"Sewaktu saya bertemu dengan wakil platform media sosial bulan lalu, saya telah memberikan mesej kepada mereka bahawa di Malaysia, kita akan mewajibkan platform-platform media sosial melakukan pengesahan identiti terutama untuk memastikan kanak-kanak bawah usia 13 tahun tidak memiliki akaun.
"Cuma exact timeline saya akan lapor kepada Jemaah Menteri dulu, baru saya akan umumkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan NADI on Wheels atau NOW di Dewan Undangan Negeri Sindumin di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa; Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Zurkarnain Mohd Yasin dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Arul Rajoo Durar Raj.
Fahmi berkata bagi tujuan itu, satu pertemuan antara MCMC dengan syarikat platform media sosial akan diadakan minggu depan yang menjadi langkah penting ke arah merealisasikan segera pelaksanaan perkara tersebut.